[VIDEO] PRN Melaka: 'Nombor telefon peribadi jadi talian terus rakyat'
KOTA MELAKA- Komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk serta memastikan mereka mudah menghubunginya menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen.

Menurutnya, sepanjang menjadi wakil rakyat, pendekatan meletakkan nombor telefon peribadi secara terbuka di media sosial membolehkan penduduk menghubunginya secara langsung bagi menyampaikan aduan dan mendapatkan bantuan.
Jelasnya, penduduk di kawasan itu sudah biasa menghubunginya, malah ada juga individu dari luar kawasan yang mendapatkan khidmatnya.
"Sepanjang menjadi wakil rakyat, saya mengambil pendekatan meletakkan nombor telefon secara langsung di media sosial supaya mereka mudah menghubungi saya.
"Jadi, penduduk di sini memang biasa malah, orang di luar kawasan pun ada yang telefon. Kita cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Gerakan PH DUN Bandar Hilir, di sini.

Ditanya sambutan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Chau Yen berkata, beliau melihat perkembangan positif berdasarkan maklum balas dan sambutan yang diterima setakat ini.
Justeru, beliau berharap pengundi di DUN Bandar Hilir terus memberikan sokongan kepada PH bagi membolehkan parti itu mengekalkan kerusi berkenaan.
Pada masa sama, Chau Yen turut menyuarakan hasrat untuk menaik taraf infrastruktur di seluruh kawasan Bandar Hilir yang disifatkannya sudah lama dan memerlukan penambahbaikan.
Katanya, sekiranya diberikan mandat, beliau berharap dapat membawa usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Chau Yen menjelaskan bahawa beliau tidak memandang rendah kemampuan calon parti lawan dalam menghadapi pertandingan tiga penjuru di DUN berkenaan, termasuk pengaruh dan kekuatan jentera kempen masing-masing.
Bagaimanapun, beliau yakin masih mempunyai peluang untuk mempertahankan kerusi itu berdasarkan keyakinan terhadap sokongan pengundi.
"Saya tidak pandang rendah parti lawan, termasuk pengaruh dan kempen mereka. Tetapi saya cukup yakin untuk mempertahankan kerusi ini," ujar beliau.
Pada PRN Melaka 2021, Chau Yen memenangi DUN Bandar Hilir dengan memperoleh 9,091 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lee Kah Sean yang mendapat 1,313 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Clarice Chan Ming Wang dengan 634 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Chau Yen memperoleh majoriti 7,778 undi. Seorang lagi calon Bebas, Mak Chee Kin mendapat 159 undi.
Bagi PRN Melaka 2026, Chau Yen sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon BN, Lok Huey Yee dan calon Parti Bersama, Mohd Nor Rashidi Ab.Jalil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

