Serbuk putih Etomidate RM769,500 diseludup guna khidmat kurier

Mohd Asri menunjukkan 5.13 kilogram serbuk putih disyaki etomidate bernilai RM769,500 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam pemeriksaan terhadap satu bungkusan di sebuah pusat khidmat kurier di Shah Alam, Selangor pada 3 September lalu. Foto Sinar Harian.
Mohd Asri menunjukkan 5.13 kilogram serbuk putih disyaki etomidate bernilai RM769,500 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam pemeriksaan terhadap satu bungkusan di sebuah pusat khidmat kurier di Shah Alam, Selangor pada 3 September lalu. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN – Sebanyak 5.13 kilogram (kg) serbuk putih disyaki etomidate bernilai RM769,500 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam pemeriksaan terhadap satu bungkusan di sebuah pusat khidmat kurier di Shah Alam, Selangor pada 3 September lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, kes itu merupakan rampasan pertama bahan berkenaan direkodkan selrpas pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan di lokasi terbabit pada jam 12.05 pagi.

Menurutnya, bungkusan lut sinar mengandungi serbuk putih dipercayai Etomidate berkenaan tidak mempunyai nama penerima, sebaliknya hanya tertera alamat sebuah kedai.

"Siasatan awal mendapati bahan itu dipercayai berasal dari India, dibawa ke China dan seterusnya memasuki Malaysia sebelum dikesan di sebuah pusat khidmat kurier di Shah Alam, Selangor.

"Serbuk putih yang disyaki etomidate adalah bahan larangan bersyarat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar kejayaan JKDM menggagalkan cubaan import dan pengedaran serbuk etomidate, rokok dan minuman keras tidak berkastam melalui tiga serbuan berasingan di Selangor, Pulau Pinang serta Pahang di pekarangan pejabat JKDM di sini pada Khamis.

Beliau menambah, modus operandi menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran barang untuk mengedarkan barang larangan bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, kes tersebut masih dalam siasatan bagi mendapatkan pengesahan analisis kimia dan mengesan individu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, selain melibatkan peruntukan di bawah Akta Racun 1952," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kegunaan bahan itu, Mohd Asri berkata, etomidate lazimnya digunakan sebagai ubat bius, namun turut dipercayai diproses menjadi cecair untuk campuran vape.

Menurutnya, pengimportan bahan berkenaan memerlukan kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau tidak menolak kemungkinan serbuk itu turut digunakan dalam penghasilan cecair 'mushroom' atau lebih dikenali sebagai 'piu-piu' yang dikaitkan dengan penggunaan vape dalam kalangan remaja.

"Kemungkiman tersebut masih belum dapat dipastikan sehingga keputusan analisis kimia diperoleh JKDM Pahang, " Jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Asri berkata, pihaknya berjaya merampas sejumlah rokok seludup dan minuman keras dalam serbuan di Sungai Jawi, Pulau Pinang pada 8 September lalu.

Menurutnya, dalam serbuan jam 3 pagi itu, pihaknya menemui 400,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM32,000.

Beliau menambah, nilai duti dan cukai bagi rampasan itu dianggarkan sekitar RM276,000.

"Dalam serbuan sama kita menemui 6,504 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM22,342.32 dengan nilai cukai dan duti lebih RM95,000.

"Semua rokok putih itu dipercayai diseludup dari Vietnam, manakala minuman keras itu pula dari Indonesia," katanya yang maklumat disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Mengulas tindakan penguatkuasaan secara keseluruhan, Mohd Asri berkata, JKDM Pahang merekodkan rampasan pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan bernilai RM16.97 juta dari Januari hingga pertengahan Oktober tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 191 kertas siasatan dibuka dengan 38 individu ditahan.

"Kita menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada JKDM menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!