KDN digesa perjelas peraturan pelaksanaan tahanan rumah – Muhyiddin

MELAKA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengeluarkan kenyataan jelas dan tegas berlandaskan undang-undang berhubung pelaksanaan tahanan rumah bagi memastikan rakyat memahami mekanisme serta peraturan yang terpakai.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga kini masih terdapat kekeliruan mengenai maksud sebenar tahanan rumah, termasuk bentuk sekatan yang dikenakan terhadap individu yang menjalani hukuman berkenaan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada tahanan rumah mempunyai peraturan khusus seperti pelaksanaan hukuman di penjara atau membolehkan individu terbabit mempunyai kebebasan tertentu.
"Saya pernah keluarkan kenyataan sebelum ini bahawa kita tidak faham apa maksud tahanan di rumah ini.
"Adakah ia mempunyai aturan dan peraturan seperti di penjara? Setahu saya, belum ada undang-undang khas yang menentukan peraturan berkenaan tahanan rumah ini.
"Adakah dia bebas melakukan apa sahaja atau ada sekatan tertentu, sama ada dari segi fizikal mahupun cara tahanan itu dilaksanakan?" katanya ditemui pada kempen calon Bersatu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada di sini pasa Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas UMNO membayar RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebarang keputusan dan syarat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan perlu difahami serta dihormati sekiranya individu terbabit telah memenuhi ketetapan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan perlu memperjelaskan asas perundangan yang digunakan bagi melaksanakan tahanan rumah.
"Kalau hari ini dia sudah mula tinggal di dalam rumah, apakah cara dan peraturan yang telah ditetapkan? Rakyat mahu tahu.
"Kalau belum ada undang-undang, atas peraturan apa yang sedang diguna pakai? Jika perlu ada undang-undang khas, maka ia mesti digubal dan dibawa ke Parlimen," katanya.
Terdahulu, UMNO mengumumkan penutupan rasmi akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan diterima mencapai sasaran dan mencukupi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata, parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
End
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

