SPRM pamer kecemerlangan anugerah akreditasi, penarafan 5 bintang pengurusan perakaunan

PUTRAJAYA - Kerjaya dalam bidang komunikasi tidak akan pupus dan akan berterusan terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad berkata, sejak penubuhan Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) pada 1962, institut itu terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh profesion perhubungan awam di Malaysia.
Menurutnya, meskipun profesion ini semakin mencabar dalam dunia AI, ia masih memerlukan sentuhan manusia dalam menguruskan komunikasi secara berstrategik khususnya media sosial dengan lebih bermakna, beretika dan berkesan.
“Walaupun AI mampu menjana teks atau merangka draf dengan pantas, teknologi tidak mempunyai elemen teras seperti empati dan integriti yang diperlukan dalam komunikasi profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah IRPM Anugerah Akreditasi dalam Perhubungan Awam (APR) 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Anugerah Akreditasi dalam Perhubungan Awam (APR) dan Komunikasi untuk Pelajar Terbaik Persatuan Pelajar IPRM (IPRMSA) 2026 di Kementerian Komunikasi di sini pada Khamis.
Dalam majlis itu, enam pegawai Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai oleh Pengarahnya, Hisyam Mohd Yusoff menerima APR dari IPRM.
Kesemua enam penerima APR itu berjaya melengkapkan keperluan akreditasi mereka, lulus dan melaksanakan kajian kes atau penerbitan penyelidikan PR, menghadiri sesi temuduga serta dokumentasi.
Pegawai BKS SPRM lain yang menerima pengiktirafan ini ialah Timbalan Pengarah BKS, Badrila Jamlus; Ketua Cawangan Multimedia BKS, Azrai Mohammad selain Mohd Helmi Faiz Ali, T Rama Maheswaran dan R Ganesh.
Sementara itu, Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman berkata, buat julung kalinya kesemua penerima APR IPRM akan diberi pengiktirafan untuk mengendalikan latihan atau bimbingan oleh pihak Institut Perhubungan Awam (IPR) di beberapa negara Asean seperti Indonesia, Singapura dan Filipina.
"Penganugerahan ini diharap dapat terus meningkatkan standard profesionalisme, memperkukuh kepakaran komunikasi strategik serta memartabatkan industri perhubungan awam Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," ujarnya.
Dalam pada itu, Hisyam berkata, pencapaian ini merupakan suatu pengiktirafan kepada peranan dan kemahiran yang ada kepada BKS khususnya dan SPRM secara keseluruhan.
“Dengan pencapaian ini ianya akan menjadi pemangkin untuk penerima terus menyumbang bukan sahaja kepada SPRM tetapi kepada bidang perhubungan awam negara,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, SPRM terus mengukuhkan kecemerlangannya dalam aspek tadbir urus kewangan apabila berjaya meraih Anugerah Penarafan 5 Bintang Amalan Terbaik Pengurusan Perakaunan Pusat Tanggungjawab (PTJ) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tahun 2025.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih, komitmen dan dedikasi seluruh warga kerja SPRM yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan kewangan organisasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Penilaian anugerah itu berdasarkan empat kriteria utama, iaitu pematuhan kewangan, kecekapan operasi, ketepatan akaun dan pembangunan modal insan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

