Beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat

Kejadian banjir kilat berlaku di Seksyen 10 Shah Alam. - Foto ihsan FB Hazizul Masdin
Kejadian banjir kilat berlaku di Seksyen 10 Shah Alam. - Foto ihsan FB Hazizul Masdin
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian banjir kilat dan pokok tumbang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Shah Alam susulan hujan lebat serta angin kencang, petang tadi.

Menerusi perkongsian seorang pengguna di laman Facebook Shah Alam Residen memaparkan beberapa keping foto bersama rakaman video kejadian banjir kilat di Seksyen 10.

Menurut pengguna dikenali sebagai Hazizul Masdin, penduduk di kawasan berkenaan khususnya berhampiran Kuarters Masjid Negeri Selangor diuji dengan kejadian banjir kilat yang berlaku petang tadi.

"Kami penduduk Seksyen 10 terutamanya petang Ramadan ini diuji dengan banjir paras lutut. Doakan kami diberi ketabahan," katanya menerusi perkongsian tersebut.

Difahamkan, selain Seksyen 10, Seksyen 7, Seksyen 13, Seksyen 16 dan Seksyen 25 turut dilanda banjir kilat dan kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat serta angin kencang tersebut.

Kejadian pokok tumbang yang berlaku di Seksyen 7, petang tadi.
Kejadian pokok tumbang yang berlaku di Seksyen 7, petang tadi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau berkata, menerusi maklumat diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan lebat dengan taburan 62.5 milimeter dilaporkan turun selama tempoh 30 minit.

Beliau berkata, buat masa ini, JPS sedang memantau situasi terkini ekoran hujan lebat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Permasalahan banjir di Seksyen 25 ini sudah banyak kali dibangkitkan, malah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut mempunyai beberapa perancangan projek yang akan dilaksanakan bagi menangani isu banjir ini, namun pelaksanaannya sedikit terganggu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, JPS juga sedang mengkaji keperluan bagi menaik taraf longkang monsun di sekitar kawasan tersebut bagi mengatasi isu banjir di sini.