'Sindiket seleweng diesel akan sentiasa cuba ubah modus operandi' - KPDN

Mohd Shahran (tengah) ketika ditemui pemberita selepas rondaan bermotosikal di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohd Shahran (tengah) ketika ditemui pemberita selepas rondaan bermotosikal di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik lapuk sindiket penyelewengan bahan api diesel digagalkan apabila 12 kes dengan rampasan mencecah RM800,000 dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Antara modus operandi sindiket ialah pemandu lori yang menggunakan kad bahan api bersubsidi (Fleet Card) sebelum berubah kepada runner yang menguruskan kad tersebut untuk pengisian ke dalam tangki lori yang diubah suai.

Selepas kegiatan itu mula dikesan KPDN, 'runner' pula dipercayai akan membuat 'deal' dengan pihak stesen minyak atau pemilik lori.

Ketua Pegawai Penguat KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, modus operandi sentiasa berubah mengikut keadaan semasa dan pihaknya sentiasa peka dengan taktik terkini bagi memastikan penyelewengan tidak berlaku.

KPDN Kuala Lumpur menggerakkan anggotanya menerusi pasukan rondaan bermotosikal dan berpakaian preman bagi memantau stesen minyak.
KPDN Kuala Lumpur menggerakkan anggotanya menerusi pasukan rondaan bermotosikal dan berpakaian preman bagi memantau stesen minyak.

“Secara keseluruhannya sejak bermula Op Tiris 4.0 sehingga hari ini KPDN Kuala Lumpur merekodkan 12 kes dan minggu lepas sahaja kita baru menghasilkan satu kes melibatkan ketirisan diesel di sebuah stor haram.

“Nilai rampasan lebih RM800,000 dengan tangkapan 27 orang membabitkan warga tempatan dan asing,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Tiris 4.0 menerusi rondaan bermotosikal di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Mohd Shahran bersama kira-kira 12 anggota dan pegawai melaksanakan rondaan bermotosikal di lebih 20 buah stesen minyak di beberapa lokasi antaranya sekitar Setapak, Segambut dan sepanjang Jalan Tun Razak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemantauan bermula 12 tengah malam sehingga 2 pagi tidak menemukan sebarang aktiviti mencurigakan di stesen-stesen minyak yang diperiksa.

"Rondaan bermotosikal lazimnya dilaksanakan di stesen minyak berhampiran lebuh raya utama namun kali ini mereka memberi tumpuan kepada kawasan tengah bandar.

“Di bawah inisiatif Kita Gempur dan Op Tiris 4.0 kami menjalankan pemeriksaan secara proaktif termasuk rondaan bermotosikal dan berpakaian preman ke stesen minyak seluruh Kuala Lumpur," ujarnya.

Tambahnya, strategi ini digunakan bagi memastikan tiada berlakunya ketirisan bahan api bersubsidi.

"Ditambah dengan kehangatan final Piala Dunia FIFA awal pagi ini, mungkin mereka (penjenayah) mahu ambil kesempatan dan kononnya kita dalam kesibukan.

“Tetapi kita mahu tegaskan bahawa KPDN Kuala Lumpur sentiasa menjalankan pemantauan walaupun dalam apa sahaja kesibukan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan,” katanya.

Tegasnya, semua pihak khususnya pengusaha stesen minyak dan pemilik lori supaya tidak bersekongkol dengan sindiket terbabit.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!