Muhammad Hakimin janji selesai 60 masalah dalam DUN Ayer Molek

HANG TUAH JAYA – Menawarkan penyelesaian terhadap 60 masalah penduduk menjadi taruhan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Hakimin Mokhtar, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, tawaran itu dibuat berdasarkan aduan penduduk yang dikumpulkan sebelum ini, namun masih belum berjaya diselesaikan sehingga kini.
Menurutnya, antara isu yang terus membelenggu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek ialah masalah capaian internet dan banjir yang berlarutan.
"Daripada 60 masalah yang diadukan kepada wakil rakyat sebelum ini, masih ada yang belum diselesaikan.
"Jika dipilih, saya akan berusaha menyelesaikannya dalam tempoh 60 hari," katanya.
Mengulas isu banjir, beliau berkata, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini masih dalam proses.
Selain itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka itu turut memberi perhatian kepada isu peluang pekerjaan, khususnya pekerjaan profesional yang disifatkannya masih terhad di Melaka.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai graduan sukar mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan, selain berdepan tawaran gaji yang tidak setimpal.
Beliau juga bercadang mewujudkan hab anak muda yang menyediakan kemudahan sukan, riadah serta aktiviti rekreasi termasuk e-sukan.
"Kita juga mahu menyediakan kemudahan seperti 'dyno sport' untuk anak muda yang meminati motosikal supaya mereka mempunyai ruang melakukan aktiviti itu," katanya.
Mengulas persaingan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Muhammad Hakimin mengakui berdepan cabaran apabila bertanding menentang calon daripada keluarga berpengaruh.
Bagaimanapun, beliau tidak menganggap perkara itu sebagai penghalang untuk meneruskan kempen bagi memastikan PH memberikan saingan di kerusi berkenaan.
"Saya sedar saya bertanding sebagai 'underdog' berdepan calon yang dikenali dan mempunyai latar belakang keluarga berpengaruh.
"Namun, itu bukan alasan untuk saya tidak turun berkempen. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk PH di Ayer Molek ini," katanya.
Muhammad Hakimin berkata, kelebihannya adalah sebagai individu biasa yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat, sekali gus memudahkannya memahami masalah dihadapi penduduk.
Beliau turut menyasarkan sokongan pengundi atas pagar dan golongan muda, selain berharap pengundi luar yang pulang mengundi pada 14 November ini membuat pilihan berdasarkan keupayaan calon untuk bekerja.
Untuk rekod, dua muka baharu menjadi taruhan BN dan PH dalam perebutan kerusi DUN Ayer Molek pada PRN Melaka kali ini.
BN mempertaruhkan Mohd Ridhwan bagi mempertahankan kerusi yang menjadi kubu tradisi parti itu, manakala Muhammad Hakimin berusaha menawan kerusi berkenaan yang belum pernah dimenangi PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
