MAIS pantau kemungkinan pengikut Aliff Daniel terpengaruh ritual

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memantau kemungkinan terdapat individu lain terpengaruh dengan ritual bercanggah dengan ajaran Islam seperti pernah diamalkan Aliff Daniel Adli.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya menerusi Jawatankuasa Akidah MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau sebarang fahaman atau kumpulan yang didapati menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat memastikan sejauh mana Aliff Daniel mempunyai pengikut atau sama ada terdapat individu yang turut terpengaruh dengan amalan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Daniel isytihar taubat hari ini
Aliff Daniel, ibu dan adik perempuan isytihar taubat
Lakukan ritual agama lain: Ibu Aliff Daniel sebak ketika lafaz taubat, akui gagal bimbing anak
Aliff Daniel isytihar taubat, akui berpuasa seminggu sebelum ritual Thaipusam
Aliff Daniel diperintah jalani pemulihan akidah tiga bulan, bertaubat
"Andai kata ada kumpulan mengamalkan atau menganjurkan sesuatu fahaman berbeza daripada fahaman Ahli Sunnah Waljamaah, kita akan terus mengambil tindakan," katanya ketika sidang media selepas majlis pengisytiharan taubat Aliff Daniel bersama ibu dan adiknya di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Salehuddin berkata, Aliff Daniel akan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Bimbingan Islam Baitul Iman, Ulu Yam, Selangor seperti diperintahkan mahkamah.
Beliau memberitahu, selepas tempoh itu, JAIS akan meneruskan pemantauan bagi memastikan lelaki itu terus mendapat bimbingan agama dan istiqamah dengan taubatnya.
Menurutnya, pemantauan mungkin dilakukan setiap minggu atau sebulan sekali bagi melihat perkembangan Aliff Daniel selain pihaknya turut menghubungi keluarganya.
"Kita mengharapkan selama tempoh tiga bulan ini kita dapat memberikan asas agama yang kukuh kepada beliau dan selepas itu kita akan pantau.
"Kita juga akan menghubungi keluarga beliau supaya mereka terus istiqamah menuntut ilmu agama dan mendapat bimbingan daripada guru yang benar-benar boleh membimbing mereka," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

