X

Kindly register in order to view this article
!

Benarkan Mahkamah Syariah beroperasi ikut SOP tertentu

Musa Awang
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa membenarkan Mahkamah Syariah meneruskan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan banyak aduan berkaitan permasalahan rumahtangga yang dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, operasi tersebut bagaimanapun perlu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, SOP itu adalah waktu operasi dibenarkan daripada hari Isnin sehingga Rabu sahaja bermula jam 8 pagi hingga jam 1 petang sahaja.

"Perlu ada penjarakan sosial serta wajib pemakaian topeng muka bagi kakitangan mahkamah syariah yang bertugas, pelanggan dan Peguam Syarie," katanya.

Selain itu katanya, kes perlu didengar dalam mahkamah terbuka sahaja, dengan jarak lebih satu meter antara satu individu dan individu lain, selain hanya pihak-pihak litigant dan/atau Peguam Syarie sahaja dibenarkan hadir.

Menurutnya, kehadiran pihak-pihak dan/atau Peguam Syarie adalah dengan menunjukkan Notis Panggilan Kes daripada pihak mahkamah sekiranya terdapat sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak berkuasa dan Mahkamah syariah perlu melakukan sanitasi nyah cemar dalam semua dewan mahkamah, kaunter dan bangunan.

"Kebenaran memfailkan kes baharu ialah bagi kes-kes yang mustahak atau mendesak sahaja seperti tuntutan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah, atau permohonan yang melibatkan Perakuan Segera seperti Permohonan Interim Hadhanah, Interim Nafkah Isteri, Interim Nafkah Anak, Permohonan Injunksi Tegahan atau Pelupusan Harta dan seumpamanya.

"Kes atau tuntutan baharu hendaklah difailkan oleh Peguam Syarie yang dilantik sahaja, sementara bagi yang tidak mampu melantik Peguam Syarie swasta, mereka boleh menggunakan khidmat Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang seharusnya juga dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini.

"Hanya Peguam Syarie yang dilantik sahaja dibenarkan ke mahkamah untuk memfailkan tuntutan atau memfailkan secara dalam talian (bagi mahkamah syariah yang menyediakan aplikasi sedemikian)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, PGSM melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian pada 7 April lalu dan menerima banyak aduan tentang permasalahan rumahtangga yang berlaku semasa PKP antaranya lafaz perceraian yang tidak dapat disahkan, isu perebutan hadhanah termasuk pengabaian atau kecuaian nafkah isteri dan/atau nafkah anak-anak.

Pada 14 April pula Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) difahamkan menghantar surat permohonan bagi mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi perbicaraan kes syariah semasa dalam tempoh PKP.

Selang tiga hari kemudian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebanyak 353 kes keganasan rumahtangga dilaporkan berlaku sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, Musa berkata, jika kerajaan membenarkan Mahkamah Syariah beroperasi mengikut SOP ditetapkan ia pasti akan dapat mengurangkan keadaan 'justice delayed is justice denied' yang melibatkan pihak-pihak yang memerlukan keadilan dan penghakiman dalam tempoh segera.

"Usaha ini juga akan dapat memartabatkan institusi mahkamah syariah sebagai salah satu institusi penyelesaian masalah bagi umat Islam di negara ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus