X

Kindly register in order to view this article
!

Puasa dengan tenang, terus patuh PKP: Zuraida

Zuraida Kamaruddin
A
A

SHAH ALAM - Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menjalani ibadah puasa dengan tenang di samping terus patuh pada ketetapan kerajaan dalam memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun Ramadan kali ini berbeza kerana berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat Islam khususnya tetap perlu berdepan dengan norma baharu ini yang banyak mengubah perjalanan kehidupan seharian.

Beliau berkata, tahun lalu umat Islam masih boleh ke masjid atau surau untuk berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih beramai-ramai, tetapi tidak pada tahun ini.

"Namun kita masih boleh menunaikan ibadah tersebut bersama anak-anak di rumah dan digalakkan juga menjalani aktiviti bersama keluarga sepanjang Ramadan ini yang secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dalam kalangan kita semua.

"Penularan wabak Covid-19 juga menuntut kita untuk lebih peka dalam menjaga kebersihan diri selain belajar mendisiplinkan diri.

"Gaya hidup positif ini wajar dikekalkan dalam norma kehidupan seharian kita kerana amalan menjaga kebersihan sememangnya satu tuntutan dalam agama Islam dan ia sejajar dengan Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan sejak November tahun lalu," katanya menerusi satu perutusan Ramadan kementerian itu hari ini.

Zuraida berkata, ibadah puasa juga bukan sahaja menuntut umat Islam untuk menahan lapar dan dahaga, sebaliknya perlu memperbanyakkan amalan lain seperti bersedekah, membaca al-Quran dan bersederhana dalam melakukan pekerjaan harian.

Menurutnya, berpuasa dapat mengajar umat Islam untuk lebih berjimat cermat dan diharapkan Ramadan kali ini kadar pembuangan makanan dapat dikurangkan kerana tidak ada bazar Ramadan yang akan dijalankan.

"Saya menyeru kepada seluruh umat Islam di dalam negara supaya terus bermunajat kepada ALLAH agar petugas-petugas di barisan hadapan terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik dalam usaha membendung wabak Covid-19.

"Insya-ALLAH, kita akan menang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!