Kelantan buka 20 pusat pengumpulan e-Ramadan

Simbolik penyerahan ayam sempena Ramadan oleh Ahmad kepada golongan memerlukan di Pasir Pekan.
Simbolik penyerahan ayam sempena Ramadan oleh Ahmad kepada golongan memerlukan di Pasir Pekan.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan Kelantan membuka 20 pusat pengumpulan melalui sistem e-Ramadan bagi memudahkan peniaga meneruskan perniagaan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang puasa.

Sistem jualan makanan dalam talian itu diwujudkan bagi membantu peniaga yang terkesan akibat pembatalan bazar Ramadan tradisional kerana ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pusat pengumpulan itu diwujudkan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan diuruskan ICT Gate Way.

"Mana-mana pihak yang berdaftar sebagai peniaga dalam talian e-Ramadan ini boleh mula membuat tempahan untuk tujuan mengumpul makanan ke pusat pengumpulan sebelum jam 10 pagi.

“Makanan kemudian akan dibawa ke pusat pengumpulan bermula jam 10 pagi hingga 3.30 petang dan petugas yang dilantik khas akan terus menghantar barangan itu kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program agihan 2,000 ayam mentah sumbangan Jukee Ayam Enterprise kepada asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri bersedia untuk menambah jumlah pusat pengumpulan jika ada permintaan daripada peniaga selain turut membenarkan premis makanan memiliki lesen di bawah pihak berkuasa tempatan untuk beroperasi.

“Selain e-Ramadan, peniaga premis makanan juga dibenarkan berniaga tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan PBT dan mesti ada perakuan kesihatan dari Jabatan Kesihatan termasuk suntikan vaksin anti-tifoid.

Artikel Berkaitan:

Seekor ayam diberikan kepada setiap seorang penduduk yang memerlukan di Pasir Pekan.
Seekor ayam diberikan kepada setiap seorang penduduk yang memerlukan di Pasir Pekan.

“Tidak boleh berkumpul beramai-ramai, hanya ambil tempahan dan makanan dengan penjarakan sosial yang ditetapkan selain memakai topeng muka serta mencuci tangan.

"Kerajaan akan memastikan peniaga dapat berniaga dan orang ramai dapat merasai berbuka dengan kuih muih yang diinginkan walaupun tidak seperti biasa, tetapi tetap berpeluang dalam keadaan sama masih mematuhi PKP," katanya..

Dalam pada itu, Penyelia Jukee Ayam, Mohd Rozi Abdul Rahim berkata, sumbangan ayam diberikan kepada kerajaan negeri untuk asnaf sebagai persediaan Ramadan.

“Rezeki yang ada dikongsi bersama-sama supaya semua dapat menyambut Ramadan dalam keadaan ada makanan untuk bersahur dan berbuka seperti saranan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Asmad Mohd Nasir, 24, dari Kampung Morak berkata, sumbangan seekor ayam itu cukup untuk dia empat sekeluarga bersahur dan berbuka.

“Perbelanjaan untuk persediaan puasa kali ini dilakukan secara berhemat dan bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung rakyat seperti saya,” katanya.