Ganjaran RM9.13 juta buru raja dadah 'Jos Gemuk'

AMSTERDAM - Pihak berkuasa Belanda menawarkan ganjaran sebanyak dua juta euro (anggaran RM9.13 juta) bagi apa jua maklumat yang membawa kepada penahanan Jos Leijdekkers.
Memetik laporan BBC, Leijdekkers ialah antara buruan paling dikehendaki di Eropah yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan kokain antarabangsa.
Leijdekkers, 35, yang turut dikenali dengan gelaran 'Bolle Jos' atau 'Jos Gemuk' sebelum ini disifatkan polis Belanda sebagai antara pemain utama dalam rangkaian jenayah tersebut.
Menteri Kehakiman Belanda, David van Weel berkata, keputusan menaikkan ganjaran kepada sepuluh kali ganda itu dibuat berikutan ancaman yang dibawa oleh Leijdekkers terhadap keselamatan negara, kedaulatan undang-undang serta ketenteraman perundangan antarabangsa.
Pendakwa raya Belanda pula menegaskan penangkapan Leijdekkers menjadi keutamaan tertinggi pihak berkuasa sambil memberi jaminan bahawa sebarang penyaluran maklumat dirahsiakan.
Leijdekkers turut tersenarai dalam senarai individu paling dikehendaki oleh agensi penguat kuasa Kesatuan Eropah (EU), Europol.
Pada Januari 2025, polis Belanda memaklumkan bahawa pihaknya percaya Leijdekkers sedang bersembunyi di Sierra Leone dan menggunakan identiti baharu dengan nama Omar Sherrif.
Beberapa gambar yang tersebar sebelum ini menunjukkan beliau berada bersama Presiden Sierra Leone, Julius Maada Bio serta beberapa pegawai kanan negara itu.
Belanda berulang kali menuntut ekstradisi Leijdekkers, namun pihak Sierra Leone dilaporkan enggan memberikan kerjasama.
Ketegangan itu turut mendorong EU mengurangkan sebahagian bantuan kepada negara Afrika Barat berkenaan.
Afrika Barat sekian lama dikenal pasti sebagai laluan transit utama bagi penyeludupan kokain dari Amerika Latin ke pasaran Eropah.
Pada 2024, mahkamah di Rotterdam menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun terhadap Leijdekkers secara 'in absentia' selepas beliau didapati bersalah menyeludup lebih tujuh tan kokain.
Selain itu, beberapa siasatan lain yang membabitkannya masih berjalan di Belanda.
Di Belgium, Leijdekkers turut dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 79 tahun atas pelbagai kesalahan berkaitan jenayah terancang.
Pihak berkuasa Belanda menganggarkan beliau meraih keuntungan puluhan juta euro daripada kegiatan penyeludupan kokain selain menuduhnya terbabit dalam pengubahan wang haram.
Dia juga menggunakan keganasan melampau untuk melindungi operasi jenayahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
