RM26.91 juta baik pulih, bina rumah rakyat miskin - Mohd Nassuruddin

Mohd Nassuruddin ketika menjawab soalan mengenai jumlah terkini rakyat Kelantan yang menerima bantuan membaiki rumah bagi tahun itu.- Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Nassuruddin ketika menjawab soalan mengenai jumlah terkini rakyat Kelantan yang menerima bantuan membaiki rumah bagi tahun itu.- Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan membelanjakan RM26.91 juta bagi membantu golongan kurang berkemampuan menerusi baik pulih dan bina rumah selain program-program pembelaan rakyat miskin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sebanyak RM10.86 juta disalurkan bagi 1,034 bantuan membaiki rumah dan penyediaan bahan binaan sepanjang 2024 hingga 2025.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 473 bantuan bernilai RM5.04 juta diberikan pada 2024, manakala 561 bantuan berjumlah RM5.81 juta disalurkan pada 2025.

“Bantuan ini bertujuan membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan mendapatkan kediaman yang lebih selamat serta selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (Nenggiri-Barisan Nasional) mengenai jumlah terkini rakyat Kelantan yang menerima bantuan membaiki rumah bagi tahun itu.

Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM11.7 juta setahun bagi pembinaan 180 Rumah Dhuafa’ dengan kos RM65,000 bagi setiap unit.

Katanya, program berkenaan menyediakan kediaman lebih selesa kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, sebanyak RM4.35 juta diperuntukkan menerusi Program Pembelaan Rakyat Miskin bagi membantu keluarga miskin dan miskin tegar meningkatkan kualiti hidup.

“Bantuan yang disediakan merangkumi bantuan kewangan, barangan keperluan asas dan keperluan kediaman termasuk zink serta bahan asas rumah.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaannya dibuat melalui Pejabat Tanah dan Jajahan berdasarkan kelayakan serta keperluan pemohon,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!