Harapan baharu pesakit kanser paru-paru

SUBANG JAYA - Tanggapan bahawa kanser paru-paru hanya menyerang perokok dan penyakit itu tidak lagi mempunyai harapan untuk dirawat adalah mitos masih menebal dalam masyarakat, sedangkan perkembangan perubatan kini memberi peluang lebih baik kepada pesakit untuk hidup lebih lama.
Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen berkata, walaupun majoriti kes kanser paru-paru berpunca daripada tabiat merokok, individu yang tidak pernah merokok juga tidak terkecuali daripada risiko menghidap penyakit berkenaan.
“Tanggapan itu betul sebenarnya. Kebanyakan kanser paru-paru memang disebabkan merokok. Tetapi bukan bermaksud kalau kita tidak merokok, risiko kita untuk mendapat kanser paru-paru terus tiada.
“Sekarang ini kita nampak semakin ramai pesakit terutama di Asia, wanita yang tidak merokok pun mudah mendapat kanser paru-paru,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Klinik Hematologi dan Onkologi SJMC, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Marfu’ah berkata, masyarakat juga perlu mengubah persepsi bahawa kanser paru-paru merupakan penyakit yang tiada harapan kerana kemajuan rawatan telah banyak mengubah prognosis pesakit.
“Saya rasa sesetengah individu yang fikir sekiranya dia tidak merokok, dia tak mungkin dapat kanser paru-paru, itu mitos. Satu lagi mitos, semua orang rasa bila kena kanser paru-paru ini, tiada harapan, sebenarnya tidak,” ujarnya lagi.
Dr Marfu’ah menjelaskan, kanser paru paru antara kanser yang paling banyak mengalami kemajuan rawatan sekarang, malah pelbagai ubat baharu telah diperkenalkan berbanding dahulu.

Kongsinya lagi, kanser paru-paru kini bukan lagi dianggap sebagai sejenis penyakit kerana setiap pesakit mempunyai mutasi yang berbeza, sekali gus memerlukan personalised treatment.
“Dulu semua orang dapat rawatan yang sama, tetapi sekarang kita tahu kanser paru-paru ada banyak jenis. Jadi lain mutasi, lain kaedah rawatannya.
“Masih ada pesakit yang memerlukan kemoterapi, tetapi rawatan sekarang bukan setakat kemoterapi sahaja. Ada targeted therapy dan juga imunoterapi mengikut jenis mutasi,” menurutnya.
Tiada simptom pada peringkat awal
Dalam pada itu, Dr Marfu’ah memaklumkan, antara cabaran terbesar adalah kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.
“Jika ada, simptomnya hampir sama seperti batuk biasa. Apabila penyakit semakin teruk, barulah muncul simptom seperti batuk berdarah, susut berat badan dan sesak nafas,” katanya.
Beliau menambah, sekitar 80 hingga 90 peratus pesakit di Malaysia dan Asia hanya dikesan ketika penyakit sudah berada pada tahap tiga atau empat.
“Apabila sudah tahap tiga atau empat, peluang untuk sembuh menjadi lebih sukar, tetapi bukan bermaksud tiada harapan,” ujarnya.
Justeru, Dr Marfu’ah menegaskan, saringan awal penyakit kanser paru-paru amat penting khususnya bagi golongan berisiko tinggi iaitu mereka yang merokok dalam tempoh lama atau mempunyai sejarah merokok dalam tempoh yang lama.
“Kaedah yang disarankan ialah low dose CT scan kerana ia dapat memberikan gambaran lebih menyeluruh berbanding X-ray biasa,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan perokok pasif juga mempunyai risiko mendapat kanser paru-paru, selain individu terdedah kepada pencemaran udara, gas radon, bahan kimia tertentu dan asap memasak dalam ruang yang tidak mempunyai pengudaraan baik.
“Faktor genetik juga boleh berlaku, tetapi bilangannya tidak ramai berbanding faktor lain,” katanya.
Jangan takut menjalani pemeriksaan awal

Dr Marfu’ah turut menggesa orang ramai supaya tidak takut menjalani pemeriksaan kerana ia hanya menyebabkan penyakit dikesan pada peringkat lewat.
“Jika kita tahu lebih awal, kita akan mempunyai lebih banyak pilihan rawatan berbanding menunggu sehingga penyakit berada pada tahap akhir,” katanya.
Menurut beliau, targeted therapy kini membolehkan sebahagian pesakit hanya mengambil ubat makan dengan kesan sampingan yang lebih rendah berbanding kemoterapi, manakala imunoterapi pula membantu sistem imun melawan sel kanser.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bukan semua pesakit sesuai menerima targeted therapy kerana pemilihan rawatan bergantung kepada keputusan ujian mutasi.
“Kita sudah melihat pesakit tahap empat yang menerima imunoterapi atau targeted therapy mampu hidup lima, tujuh, sembilan malah sehingga 12 tahun.
“Keadaan ini sangat berbeza berbanding dahulu apabila pesakit tahap empat tanpa rawatan mungkin hanya mampu bertahan tiga hingga enam bulan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

