Polis selamatkan 89 kura-kura, seorang lelaki ditahan

Aktiviti menyimpan dan memiliki hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki tempatan serta menyelamatkan 89 kura-kura dalam dua serbuan berasingan di Lunas dan Kulim, Kedah pada Jumaat. Gambar hiasan
Aktiviti menyimpan dan memiliki hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki tempatan serta menyelamatkan 89 kura-kura dalam dua serbuan berasingan di Lunas dan Kulim, Kedah pada Jumaat. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Aktiviti menyimpan dan memiliki hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran terbongkar apabila polis menahan seorang lelaki tempatan serta menyelamatkan 89 kura-kura dalam dua serbuan berasingan di Lunas dan Kulim, Kedah pada Jumaat.

Serbuan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (Brian Exotic) itu dilaksanakan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama Wildlife Crime Unit (WCU), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia hasil risikan terhadap aktiviti penyimpanan dan pemilikan hidupan liar yang dilindungi.

Komander WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa menyelamatkan sebanyak 89 ekor kura-kura terdiri daripada 74 ekor kura-kura Sulcata dan 15 ekor kura-kura 'Yellow Pond Turtle'.

"Turut dirampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta sebuah telefon bimbit, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM190,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) (Pindaan 2022) kerana dipercayai melibatkan spesies yang dilindungi di bawah akta berkenaan dan disimpan tanpa lesen yang sah sebelum dipasarkan kepada pembeli.

"Tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memelihara biodiversiti negara selain membanteras kegiatan perdagangan haram hidupan liar.

"Kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan yang dilaksanakan WCB/PSK bersama agensi penguat kuasa strategik," katanya.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi bersepadu dan perkongsian risikan bagi mengesan serta menumpaskan sindiket penyeludupan dan perdagangan haram hidupan liar.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar atau jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mohd Zaki berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, WCB/PSK menerusi Operasi Bersepadu Khazanah telah merekodkan 53 kes dengan 56 tangkapan serta nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM93.88 juta.

"WCB/PSK komited melindungi khazanah negara, keselamatan awam dan kepentingan negara menerusi tindakan penguatkuasaan yang tegas, profesional serta berterusan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!