Nelayan tidak mengaku tumbuk isteri

Tertuduh sewaktu hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Tertuduh sewaktu hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk isterinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Tek Zamani Mamat@Mohamad, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz, sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Engku Sri Shah Maria Engku Supian, 27, dengan menumbuk mulut dan dahi di sebuah rumah di Serada di sini pada 18 April lalu jam 12 tengah malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, dia turut berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Sebaik sahaja pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein dan Mohd Asaari Salleh.

Artikel Berkaitan: