Maritim Malaysia rekod rampasan lebih RM2.29 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2026

Mohd Rosli menyampaikan sijil pelantikan Sahabat Maritim kepada wakil penduduk sempena sempena Program Santuni Madani dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok di sini pada Khamis.
Mohd Rosli menyampaikan sijil pelantikan Sahabat Maritim kepada wakil penduduk sempena sempena Program Santuni Madani dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) mencatatkan nilai rampasan lebih RM2.29 bilion dengan 516 kes tangkapan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, nilai rampasan tertinggi direkodkan RM2.10 bilion melibatkan rampasan bot tempatan yang disita atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, nilai rampasan bot RM2.09 bilion pada April menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Sementara itu, dadah antara penyumbang nilai rampasan tertinggi dengan RM86.05 juta diikuti bot nelayan asing, RM66.0 juta.

"Turut menyumbang kepada nilai rampasan itu termasuk rokok (RM25.16 juta), diesel (RM3.33 juta), udang (RM5.2 juta), minuman keras (RM446,000), ketum (RM310,075) dan kenderaan darat (RM225,000)," katanya pada sidang akhbar sempena Program Santuni Madani dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok di sini pada Khamis.

Mohd Rosli berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan lain termasuk petrol, tong gas, peralatan menangkap ikan, kayu bergergaji, kayu balak, barang kawalan, barang runcit dan kargo.

Sementara itu jelasnya, daripada 516 kes tangkapan di seluruh negara, Sabah merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 142 kes, diikuti Johor (94 kes), Perak (59), Kedah/Perlis (53), Selangor (44) dan Sarawak (42).

"Turut direkodkan Terengganu sebanyak 27 kes, Kelantan (24), Pulau Pinang (21), manakala Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing lima kes," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasa keselamatan dan kedaulatan perairan negara melalui pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), rondaan keselamatan serta usaha membanteras jenayah di laut termasuk penyeludupan, pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram dan pemerdagangan orang.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh 20 tahun bermula 2006 hingga 29 Jun 2026, Maritim Malaysia merekodkan 1,443,950 pemeriksaan dan 568,965 penggeledahan di seluruh Zon Maritim Malaysia.

"Dalam tempoh yang sama, agensi berjaya merekodkan 18,230 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang negara dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM5 bilion," katanya.

Tambah beliau, agensi itu turut mengendalikan 3,659 operasi SAR melibatkan 19,059 mangsa, sekali gus membuktikan komitmen berterusan agensi dalam melindungi keselamatan nyawa dan menjaga kedaulatan perairan negara.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rosli berkata, Program Sahabat Maritim yang diperkenalkan sejak 2007 terus menjadi medium komunikasi dua hala yang berkesan dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap Maritim Malaysia.

" Sehingga 16 Julai lalu, 549 Program Sahabat Maritim telah dilaksanakan di seluruh negara sebagai platform memperkukuh hubungan antara agensi dengan komuniti maritim di seluruh negara.

"Program Sahabat Maritim mampu memperkukuh hubungan antara agensi dan komuniti pesisir pantai. Sokongan serta maklumat daripada masyarakat menjadi 'mata dan telinga' agensi dalam membantu memastikan perairan Zon Maritim Malaysia kekal selamat," katanya.

Program Santuni Madani dan Sahabat Maritim di Pantai Rekreasi Balok diisi dengan pelbagai acara antaranya penyampaian sijil pelantikan Sahabat Maritim, penyampaian sumbangan kepada asnaf, pelancaran papan tanda panduan keselamatan rekreasi di pantai dan acara sukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!