PDT sumbang 680 pek bantuan barangan

Sebuah keluarga menerima pek bantuan barang keperluan harian sumbangan daripada pihak PDT untuk meringankan beban mereka semasa PKP dan menyambut Ramadan di sebuah kampung di Batu Pahat, Johor di sini hari ini.
Sebuah keluarga menerima pek bantuan barang keperluan harian sumbangan daripada pihak PDT untuk meringankan beban mereka semasa PKP dan menyambut Ramadan di sebuah kampung di Batu Pahat, Johor di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permodalan Darul Ta’zim (PDT) menyumbangkan 680 pek bantuan barang keperluan kepada keluarga di seluruh Johor yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar berkata, sumbangan bernilai hampir RM60,000 itu merupakan barang keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan pelbagai keperluan penting yang lain.

"Pengagihan sumbangan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat melibatkan empat daerah iaitu Tangkak, Johor Bahru, Kluang dan Batu Pahat.

"Peringkat pertama pengagihan sumbangan dilaksanakan pada 16 April lalu melibatkan 120 keluarga dari Kampung Parit Medan, Batu Paha dan Kundang Ulu, Tangkak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada hari ini pula bantuan disampaikan kepada 100 keluarga iaitu penduduk di Flat Larkin Perdana; Kampung Sri Paya; Flat Suria Muafakat; Flat Seri Anugerah dan Flat Larkin, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 240 keluarga yang menerima bantuan di daerah ini.

Di Batu Pahat pula katanya, penyerahan turut disampaikan hari ini kepada 100 keluarga yang terjejas melibatkan 16 mukim antaranya di Kampung Parit Muda; Kampung Gombak; Taman Bukit Perdana dan Kampung Sungai Rambut.

"Sementara pengagihan sumbangan di Kluang melibatkan 200 keluarga akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," ujarnya.

Beliau berkata, PDT menerima permohonan sumbangan yang diselaraskan bersama-sama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pejabat Daerah daripada mereka yang sangat terkesan disebabkan hilang punca pendapatan, terputus bekalan makanan serta memerlukan bantuan dengan segera.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan mereka bekerja sendiri, selain golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU)," katanya dan memberitahu sasaran bantuan kali ini adalah kepada golongan yang tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan, pihak PDT berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka terutama ketika pelaksanaan PKP yang kini memasuki fasa ketiga dan juga dengan ketibaan Ramadan.

Menurutnya, pelaksanaan program CSR itu adalah selari dengan satu teras pihak PDT iaitu rakyat menjadi keutamaan selain akan sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan demi kesejahteraan mereka.