Ahli farmasi perlu diiktiraf sebagai 'frontliners'

Amrahi Buang
Amrahi Buang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) memohon kerjasama pihak berkuasa mengiktiraf peranan kumpulan ahli farmasi sebagai salah satu petugas barisan hadapan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, saranan itu dibuat susulan banyak pihak memandang rendah sumbangan atau peranan ahli farmasi kepada masyarakat termasuk ahli farmasi yang bekerja dengan pusat perubatan dan hospital kerajaan.

Menurutnya, sepanjang pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu, terdapat beberapa insiden tidak diingini berlaku membabitkan beberapa ahli farmasi atau pengusaha farmasi swasta, hanya disebabkan salah faham pihak berkuasa terhadap peranan mereka.

"Terbaru, pagi ini seorang ahli farmasi yang bertugas di Hospital Sungai Buloh dinafikan akses melalui laluan kecemasan yang dikhaskan kepada frontliners sewaktu melalui rutin sekatan jalan raya hanya disebabkan beliau ahli farmasi dan bukan doktor atau jururawat hospital berkenaan.

"Meskipun insiden itu lebih kepada masalah komunikasi, namun pihak persatuan kesal dengan kegagalan berterusan agensi kerajaan mengiktiraf peranan ahli farmasi sebagai petugas barisan hadapan yang turut membantu menangani pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Amrahi berkata, kerjasama pihak berkuasa yang menjalankan sekatan jalan raya sepanjang PKP di seluruh negara juga sangat diharapkan bagi memudahkan ahli farmasi melalui akses laluan kecemasan untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, bagi menghormati keperluan kerajaan, pihak persatuan sendiri turut menasihati semua ahli farmasi menyiapkan dokumen-dokumen diperlukan termasuk surat pengesahan ahli farmasi untuk memudahkan rujukan pihak keselamatan sewaktu melalui sekatan jalan raya.

"Kadangkala perkara ini berlaku disebabkan kegagalan pihak berkaitan memahami skop perlaksanaan PKP oleh kerajaan secara keseluruhan di mana perkhidmatan farmasi terpilih sebagai salah satu perkhidmatan perlu (essential) sejak PKP fasa pertama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ramai tidak menyedari ahli farmasi dan pengusaha farmasi swasta juga bertungkus-lumus memastikan orang awam menerima alternatif bekalan perubatan diperlukan selain hospital dan klinik bagi penyakit tidak berkaitan Covid-19," katanya.

Amrahi juga berharap kerajaan dapat memberi penerangan kepada agensi berkaitan terhadap kepentingan peranan ahli farmasi atau pengusaha farmasi swasta bagi mengelakkan kumpulan itu terus diberikan layan 'double standard'.

"Ada kes di Teluk Intan, Perak minggu lalu apabila beberapa pelanggan sebuah farmasi diusahakan ahli persatuan kami ditegur pihak berkuasa hanya disebabkan mereka sedang menunggu di luar untuk masuk ke premis itu.

"Pihak berkenaan perlu memahami setiap premis farmasi beroperasi perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bilangan pelanggan dibenarkan berada dalam premis perlu terhad selain amalan penjarakan sosial.

"Saya fikir sudah tiba masanya semua pihak buka mata terhadap kepentingan perkhidmatan farmasi atau ahli farmasi di negara ini agar peranan mereka turut diiktiraf setaraf petugas kesihatan lain," katanya.