Lindungi identiti kanak-kanak: Gesaan MMM perlu diberi perhatian - Fahmi

SHAH ALAM - Organisasi media perlu memberi perhatian serius terhadap perlindungan identiti kanak-kanak yang terbabit dalam sesuatu insiden termasuk ketika mengendalikan laporan di platform media sosial masing-masing.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan oleh semua pengamal media demi kepentingan bersama selaras dengan gesaan Majlis Media Malaysia (MMM).
"Saya menyokong gesaan MMM ini dan berharap agar rakan-rakan media termasuk mereka yang mengendalikan akaun media sosial organisasi media dapat memberikan perhatian serius serta mempertimbangkan perkara ini demi kepentingan bersama," katanya kepada Sinar Ahad.
Terdahulu, MMM menggesa organisasi media supaya melindungi identiti kanak-kanak yang terlibat dalam sesuatu insiden, sama ada sebagai suspek, mangsa atau saksi.
Menurutnya, Kod Tatalaku MMM memperuntukkan perlindungan khusus kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan kepentingan mereka hanya boleh diketepikan sekiranya terdapat manfaat awam yang luar biasa.
Jelas kenyataan itu, nama, gambar dan lokasi boleh mendedahkan identiti kanak-kanak tidak boleh diterbitkan termasuk maklumat membolehkan identiti mereka dikenal pasti secara tidak langsung seperti umur, kelas, latar belakang keluarga dan akaun media sosial.
MMM turut mengingatkan media supaya mengesahkan bahan yang tersebar melalui media sosial dan aplikasi pemesejan sebelum melaporkannya sebagai fakta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
