Terumbu karang dunia berisiko musnah

YEREVAN - Hampir keseluruhan terumbu karang di perairan cetek seluruh dunia berisiko mengalami kemusnahan ekosistem dalam tempoh 50 tahun akan datang sekiranya perubahan iklim terus memburuk.
Ketua Saintifik Penilaian Senarai Merah Ekosistem Terumbu Karang Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), Mishal Gudka berkata, peningkatan suhu lautan akibat perubahan iklim menjadi ancaman terbesar terhadap kelangsungan terumbu karang.
"Ancaman perubahan iklim pada masa depan semakin serius dan membawa risiko amat tinggi terhadap kelangsungan ekosistem ini," katanya pada Khamis sempena Persidangan Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP17) di Yerevan, Armenia.
Menurutnya, kejadian pelunturan karang yang semakin kerap akibat suhu laut meningkat boleh menyebabkan terumbu karang kehilangan keupayaan untuk pulih.

Malah jelasnya, sebanyak 96 peratus ekosistem terumbu karang dunia kini diklasifikasikan sebagai sangat terancam berdasarkan penilaian terhadap risiko kemusnahan pada masa depan.
Fenomena Super El Nino yang berlaku tahun ini turut dikhuatiri memburukkan keadaan apabila suhu permukaan laut meningkat.
Terumbu karang utama dunia terancam
Penilaian IUCN melibatkan 127 sistem terumbu karang tropika dan subtropika meliputi kawasan seluas 188,362 kilometer persegi.
Antara kawasan yang berdepan risiko keruntuhan ialah Terumbu Sawar Besar Australia, Segi Tiga Terumbu Karang di Asia Tenggara dan Pasifik Barat, sistem terumbu karang Caribbean serta Laut Merah.

Menurut IUCN, keruntuhan ekosistem berlaku apabila karang keras yang membentuk struktur utama terumbu semakin berkurangan dan digantikan dengan alga, serpihan karang serta span laut.
Keadaan itu boleh mengubah keseluruhan fungsi ekosistem marin yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan laut.
Selain perubahan iklim, aktiviti penangkapan ikan berlebihan turut menjejaskan keseimbangan terumbu karang.
IUCN mendapati eksploitasi spesies seperti ikan bayan dan kerapu mengancam 63 peratus ekosistem terumbu karang.
Ancaman lain termasuk pembangunan pesisir pantai, pencemaran, kegiatan pelancongan dan ribut yang semakin kerap.
Bagaimanapun, IUCN menegaskan bahawa risiko keruntuhan tidak bermakna 96 peratus terumbu karang dunia sudah musnah.

Malah, jika penilaian hanya mengambil kira perubahan yang berlaku sepanjang 50 tahun lalu tanpa unjuran iklim masa depan, sebanyak 24 peratus ekosistem dikategorikan sangat terancam.
Perbezaan ketara itu menunjukkan kesan pemanasan global yang dijangka berlaku pada masa depan mampu meningkatkan risiko kemusnahan terumbu karang secara besar-besaran.
Gudka berkata, dunia masih mempunyai peluang untuk mengelakkan senario terburuk sekiranya langkah pengurangan pelepasan karbon dan pemuliharaan habitat dilaksanakan dengan lebih agresif.

"Tindakan yang kita ambil dalam beberapa tahun akan datang akan menentukan sama ada ekosistem ini terus bertahan seperti yang kita kenali atau berubah menjadi ekosistem lain yang kurang bernilai kepada alam semula jadi dan manusia," katanya.
Ketua Pengarah IUCN, Grethel Aguilar pula menegaskan bahawa masih belum terlambat untuk memberi peluang kepada terumbu karang pulih.
Beliau menggesa negara-negara meningkatkan perlindungan kawasan marin, memperkukuh usaha pemulihan terumbu karang dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi memastikan ekosistem berkenaan tidak lenyap menjelang akhir abad ini. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
