'Kapal' ekosistem bumi sedang karam


AUCKLAND – Terumbu Karang Sawar Besar di Australia kini berdepan risiko mengalami pelunturan karang besar-besaran dan 'keruntuhan ekosistem' akibat fenomena cuaca El Nino.
Struktur hidup terbesar di dunia sepanjang 2,300 kilometer di sepanjang pantai negeri Queensland itu merupakan antara tarikan utama pelancongan di negara tersebut.
Baru-baru ini, ia terselamat daripada disenaraikan sebagai kawasan terancam walaupun Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan kebimbangan besar terhadap kejadian pelunturan karang berskala besar serta kesan perubahan iklim terhadap terumbu berkenaan.

Ahli ekologi pemuliharaan marin dari Universiti James Cook Queensland, Morgan Pratchett memberi amaran tentang impak El Nino ekstrem terhadap Terumbu Karang Sawar Besar tersebut.
"Ia berpotensi menyebabkan kepupusan spesies di kawasan tertentu dan membawa kepada keruntuhan ekosistem secara meluas.
"Terdapat kemungkinan besar Terumbu Karang Sawar Besar akan berdepan kejadian pelunturan besar-besaran yang lebih serius dan meluas,” katanya.

Fenomena El Nino 2026 dijangka mencatat rekod baharu dari segi kekuatan apabila peningkatan suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa mencetuskan perubahan corak angin, tekanan udara serta taburan hujan di seluruh dunia.
Sejak 2021, UNESCO telah memantau keadaan terumbu berkenaan pada setiap tahun selepas memberi amaran bahawa kawasan itu berisiko dimasukkan dalam senarai terancam.

Kawasan yang diliputi karang keras hidup turut merosot dengan ketara sepanjang 2024 hingga 2025 apabila suhu air yang lebih tinggi daripada biasa mencetuskan kejadian pelunturan karang besar-besaran keenam sejak 2016.
Selain perubahan iklim, terumbu berkenaan turut berdepan tekanan akibat cuaca ekstrem, aliran pencemaran dari daratan, pembangunan kawasan pesisir dan ancaman tapak sulaiman mahkota duri.
Profesor kajian marin dari Universiti Queensland, Ove Hoegh-Guldberg berkata, kegagalan pemerintah bertindak lebih tegas telah mengancam masa depan terumbu karang di seluruh dunia.
“Ia mungkin menjadi permulaan kepada kehilangan yang akan memberi kesan besar kepada manusia. Jika anda berada di atas kapal seperti Titanic dan diberitahu bahawa kapal itu sedang karam, tindakan sewajarnya ialah bertindak segera menuju ke bot penyelamat,” katanya ketika menggambarkan betapa mendesaknya krisis yang dihadapi terumbu karang dunia.

Menurutnya, pemimpin negara masih belum mengambil tindakan sewajarnya walaupun tanda-tanda kemusnahan semakin jelas.
"Jika keadaan ini berterusan, 'kapal' yang menjadi simbol ekosistem bumi itu mungkin benar-benar menuju kehancuran," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

