[VIDEO] Mahkamah Tinggi gantung notis RoS isu pembatalan pendaftaran PN
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Notis pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dua hari lalu, digantung oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Hakim, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian selepas berpendapat terdapat kemudaratan lebih besar kepada PN selaku pemohon sekiranya penggantungan pelaksanaan tidak dibenarkan.
Beliau kemudian membenarkan permohonan gabungan parti itu supaya notis berkenaan digantung sehingga prosiding substantif semakan kehakiman didengar.
Keputusan ini dibuat sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Melaka, dengan gabungan itu berusaha mempertahankan haknya untuk bertanding menggunakan nama dan logo sendiri.
Beliau turut membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan notis penggantungan bertarikh 23 September lalu sehingga permohonan semakan kehakiman selesai diputuskan.
Semasa membaca keputusan, Azizan berkata, mahkamah turut mengambil kira keadaan luar biasa yang boleh menjejaskan peranan pemohon dalam aktiviti politik, termasuk hak sebagai anggota parti, wakil rakyat, ahli Parlimen atau anggota kerajaan negeri.
Beliau berkata, kesan berkenaan dalam keadaan tertentu tidak dapat dipulihkan, antaranya berkaitan penyertaan dalam sistem pilihan raya negara.
Mahkamah turut berpandangan bahawa, tiada prejudis kepada pihak responden sekiranya penggantungan itu dibenarkan kerana pemantauan terhadap aktiviti PN atau pemohon masih boleh dilaksanakan mengikut undang-undang negara.
Menurutnya, mahkamah menolak hujahan responden bahawa permohonan penggantungan pelaksanaan berkenaan telah menjadi akademik selepas pendaftaran pertubuhan itu dibatalkan pada 20 Oktober lalu.
“Mahkamah menjelaskan bahawa pembatalan pendaftaran yang telah berkuat kuasa tidak semestinya menghapuskan keseluruhan isu yang dibangkitkan pemohon, memandangkan permohonan itu turut merangkumi usaha menghalang tindakan lanjut berkaitan notis penggantungan, termasuk pembatalan pendaftaran.
“Bagaimanapun, mahkamah menegaskan bahawa keputusan membenarkan penggantungan pelaksanaan itu tidak bermaksud pendaftaran yang telah dibatalkan secara automatik dipulihkan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah juga tidak memutuskan kesahan tindakan responden membatalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan pada peringkat ini kerana perkara itu masih boleh dicabar melalui prosiding lain.
Keputusan berkenaan kemudiannya mengundang sorakan pemimpin dan penyokong PN yang berada di dalam mahkamah.
Pada Khamis, peguam, Tan Sri Azhar Azizan @ Harun, Ivanpal Singh Grewal, Rafique Rashid Ali, Mohamad Siddiq Azani, Mohd Fadhli Yahya, Zulkifli Noordin, Chai Ko Thing, Zainol Aziz Mohamad, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, Nur Mustanir Md Nor, Mior Nor Haidir dan Mohd Redzuan Mohamed Yusoff hadir bagi mewakili PN
Sementara Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan bagi pihak Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku responden.
Pada 22 September, RoS mengeluarkan notis kepada PN, sebelum perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September.
RoS pada 24 September lalu, mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN dengan tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku pemohon pertama, kemudiannya memohon untuk semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People's Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.
Dalam permohonan itu, Ketua Pengarah RoS, Datuk Muhammad Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinamakan sebagai responden-responden.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, PN menyatakan, notis RoS itu memberi kesan kepada parti-parti di bawah gabungan tersebut yang akan bertanding pada PRN Melaka ke-16 kelak.
PN mendakwa, kegagalan menangguhkan atau membatalkan notis sebelum hari penamaan calon akan menjejaskan penyertaan gabungan dalam PRN.
Dalam sijil perakuan segera yang difailkan bersama permohonan, PN turut mendakwa notis itu menghalang gabungan berkenaan menjalankan kegiatan politik seperti biasa, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan logo gabungan parti.
Menurut gabungan itu, sebarang keputusan mahkamah selepas hari penamaan calon akan terlambat kerana peluang untuk meletakkan wakil menggunakan nama dan logonya, tidak lagi dapat dikembalikan.
Selepas mendengar hujahan semua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad membenarkan PN memulakan semakan kehakiman terhadap notis berkenaan dan menetapkan pendengarannya, pada 22 Oktober.
Bagaimanapun, pada 20 Oktober, RoS membuat kejutan apabila membatalkan pendaftaran PN, selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September.
Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka manakala 31 Oktober, hari penamaan calon.
Pengundian awal pula pada 10 November dan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari bermula 31 Oktober sehingga 13 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

