PN kemuka rayuan kepada KDN dalam beberapa hari - Takiyuddin

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh terdekat berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu antara pilihan yang sedang diteliti selain meneruskan tindakan perundangan bagi mencabar keputusan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Parti itu sentiasa menikam belakang' - Takiyuddin dakwa Bersatu punca pendaftaran PN dibatalkan

“Akta Pertubuhan 1966 membenarkan untuk mengemukakan rayuan kepada menteri dalam tempoh 30 hari selepas keputusan RoSdibuat.

“Rayuan itu sedang disediakan dan dijangka dikemukakan dalam tempoh beberapa hari ini kepada Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) Kelantan 2026 di Pasir Tumboh di sini pada Selasa.

Menurutnya, keputusan berhubung rayuan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri dan bersifat muktamad.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PN juga berhasrat meneruskan prosiding mahkamah pada 22 Oktober ini bagi mencabar tindakan pembatalan pendaftaran berkenaan.

Beliau berkata, tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN ketika permohonan semakan kehakiman masih berjalan menimbulkan persoalan kerana kes itu sepatutnya didengar di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Peguam kami akan hujah di mahkamah bahawa tindakan yang dibuat, pembatalan ini adalah tidak mengikut undang-undang.

“Itu kita akan hujah di mahkamah,” katanya.

Takiyuddin menjelaskan, rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dan prosiding mahkamah merupakan dua proses berbeza yang akan diteruskan pihaknya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pembatalan itu dibuat sebelum mahkamah mendengar permohonan PN berkaitan pertikaian berkenaan.

“Ini seolah-olah tidak menghormati prosiding mahkamah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!