Pas, parti sehaluan cabar pembatalan pendaftaran PN di mahkamah

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas bersama parti-parti sehaluan dalam Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mengesahkan segala aspek pentadbiran dan pengurusan PN dijalankan secara teratur dan mengikut perlembagaan parti.

Menurut beliau, keharmonian dalam kalangan parti anggota disifatkan amat utuh kecuali satu pihak yang telah bertindak menyisihkan diri dan berpaling tadah.

"Pas mengecam tindakan kerajaan membatalkan pendaftaran PN melalui suatu notis daripada RoS bertarikh 20 Oktober 2026.

"Pas kesal dengan tindakan ini yang dilihat mendahului keputusan mahkamah, menghadkan hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan, sekaligus memperlihatkan ketakutan yang sedang memuncak di pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.

Abdul Hadi berkata, selain tindakan mahkamah, langkah seterus Pas adalah persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 14 November ini.

"Pas menghargai sokongan ahli, penyokong dan pengundi atas pagar yang mengharapkan berlaku perubahan dalam kepimpinan negara.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak diminta untuk menghormati undang-undang dan lunas demokrasi," katanya.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!