Pemuda Pas persoal pembatalan pendaftaran PN, dakwa mungkin ada tekanan politik

RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu. Gambar kecil; Afnan Hamimi.
RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu. Gambar kecil; Afnan Hamimi.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas mempersoalkan sama ada terdapat pihak yang mendesak atau tangan-tangan tertentu yang sedang memberi tekanan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sehingga keputusan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dibuat hari ini.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jika benar terdapat tekanan politik di sebalik keputusan itu, maka ia bukan sahaja mencemarkan imej RoS malah boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Menurutnya, rakyat hari ini bukan mudah diperbodohkan tetapi boleh menilai perkara yang sedang berlaku.

"Pemuda Pas Malaysia mengecam tindakan pihak tertentu yang dipercayai cuba menggunakan tekanan politik berhubung perkara tersebut.

"Jangan kerana terlalu ghairah mahu melemahkan PN, akhirnya prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang pula yang dikorbankan.

"Negara ini ada undang-undang, hormatilah proses mahkamah. Jangan jadikan undang-undang rimba sebagai amalan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.

Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Afnan Hamimi, RoS perlu bertindak secara profesional, bebas dan berintegriti.

Jelasnya, jangan sampai institusi kerajaan dilihat seolah-olah menjadi alat untuk memenuhi kehendak politik pihak tertentu.

"Apa yang peliknya, kes ini sepatutnya dibawa ke mahkamah pada 22 Oktober 2026, tetapi kenapa RoS begitu tergesa-gesa membuat keputusan?

"Sedangkan pada 22 Oktober nanti, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menggantung keputusan RoS sementara proses semakan kehakiman diselesaikan.

"Kenapa tidak tunggu sahaja proses mahkamah? Apa yang terlalu mendesak sampai keputusan perlu dibuat lebih awal?" ulasnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!