Harap Malaysia diberi keutamaan terima vaksin Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan berusaha memastikan Malaysia diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin koronavirus (Covid-19) sekiranya ia ditemui kelak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kini perbincangan sedang dilakukan bersama beberapa negara yang dikenal pasti mempunyai keupayaan mengeluarkan vaksin berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu perlu membuat penyelidikan terhadap vaksin itu untuk mengkaji kesan sampingannya.

"Malaysia dipilih untuk dijadikan tempat untuk membuat kajian sebagaimana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan rawatan.

"Contohnya ada empat kumpulan ubat, Malaysia dikenal pasti sebagai sebuah negara yang boleh menjalankan kajian (ubat) itu.

"Begitu juga jika boleh berbincang dengan negara yang mengeluarkan vaksin, kita bersedia menerima vaksin itu untuk menjalankan kajian, kita boleh pantau sama ada vaksin itu berkesan atau tidak," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa negara untuk menjalinkan bekerjasama, selain turut menerima cadangan daripada negara lain bagi membantu negara tersebut dalam ujian klinikal itu.

Antara negara itu termasuk China, United Kingdom, Korea Selatan, India dan Bosnia.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sekiranya Malaysia memperoleh vaksin berkenaan, tumpuan boleh diberikan pula untuk pembuatan vaksin kerana setakat ini Malaysia masih tidak mempunyai keupayaan berkenaan.

"Mungkin formula sudah ada, kita boleh mengeluarkannya di negara kita. Kerjasama secara bersepadu dengan negara lain, data kita contohnnya boleh menyumbang kepada kajian penyelidikan vaksin bersama.

"Ini walaupun kita tak ada keupayaan asas untuk mengenal pasti vaksin tetapi dalam proses pembuatan, kita boleh menyumbang. Apabila ada vaksin yang boleh menyembuh, kita nak pastikan Malaysia diberi keutamaan dapatkan vaksin itu untuk negara kita," katanya.