Pasangan suami isteri dibayar RM1,400 seminggu hantar dadah

Azry (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah seberat 6.315kg dianggarkan bernilai RM291,250 yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kuantan pada 12 Oktober lalu.
Azry (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah seberat 6.315kg dianggarkan bernilai RM291,250 yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kuantan pada 12 Oktober lalu.
A
A
A

KUANTAN – Bayaran sehingga RM1,400 seminggu diterima sepasang suami isteri yang dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah sebelum kegiatan mereka terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini pada 12 Oktober lalu.

Kedua-dua suspek berusia antara 40 dan 46 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan menerima arahan sebelum menghantar bekalan dadah ke lokasi yang ditetapkan.

“Kedua-dua suspek mengaku menerima bayaran antara RM1,200 hingga RM1,400 seminggu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Isnin.

Azry (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas selepas penahanan pasangan suami isteri yang dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah.
Azry (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas selepas penahanan pasangan suami isteri yang dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah.

Azry memberitahu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seberat 6.315 kilogram yang dianggarkan bernilai RM291,250 dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, antara dadah yang dirampas ialah 2,170 gram cecair ganja, 1,905 gram heroin, 725 gram pil yaba dan 1,515 gram pil Erimin-5.

"Sekiranya kesemua dadah ini terlepas ke pasaran, ia berisiko merosakkan seramai 20,945 orang yang menggunakannya," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azry memaklumkan lima jenis kenderaan disita dan tiga rampasan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM103,789 untuk siasatan di bawah Akta Dadah (Perlucuthakan Harta) 1988.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam kes berkenaan dianggarkan berjumlah RM395,039.

Beliau menambah, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan disiasat dibuatmengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Permohonan reman lanjutan terhadap kedua-dua suspek dibenarkan selama enam hari bermula 20 hingga 25 Oktober ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!