31 ditahan, polis tumpas sindiket scam antarabangsa

Azry Akmar
Azry Akmar
A
A
A

KUANTAN – Seramai 31 individu termasuk warga asing ditahan selepas polis menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian menerusi lima operasi berasingan di Kuantan dan Genting Highlands, Bentong antara 6 hingga 14 Oktober lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian, love scam dan tawaran pekerjaan sambilan palsu dengan menyasarkan mangsa dari China, Eropah serta Amerika Syarikat.

“Dalam operasi pertama di Sungai Lembing pada 6 Oktober lalu, polis menahan lima suspek terdiri daripada tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Myanmar yang disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan dalam talian.

“Pada keesokannya, tujuh lelaki warga China ditahan di Kuantan dalam operasi berkaitan penipuan pelaburan dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Menurutnya, lapan lagi suspek ditahan di Kuantan pada 12 Oktober lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan love scam.

Beliau berkata, empat lelaki warga China turut ditahan pada 13 Oktober dalam operasi berasingan yang membabitkan modus operandi sama.

Dalam operasi terakhir pada 14 Oktober, tujuh lelaki warga China ditahan di Genting Highlands, Bentong kerana disyaki terlibat dalam penipuan tawaran pekerjaan sambilan menerusi platform Amazon.

Azry Akmar berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan tersebut.

“Antara barangan yang dirampas ialah komputer, komputer riba, telefon bimbit, tablet, modem dan penghala (router) selain wang tunai berjumlah RM4,850.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dijalankan secara terancang dengan setiap ahli mempunyai peranan tertentu,” katanya.

Menurut beliau, sindiket berkenaan menggunakan akaun media sosial palsu, aplikasi komunikasi dan rangkaian internet bagi memperdaya mangsa serta menyembunyikan identiti sebenar mereka.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Imigresen.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, ejen hartanah, pemilik premis atau pemilik bangunan yang disyaki mempunyai kaitan, membantu atau bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap mana-mana pihak yang disyaki terbabit dan tindakan undang-undang termasuk pertuduhan di mahkamah akan diambil sekiranya terdapat bukti mencukupi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!