Bot pancung bawa lapan PATI terbalik, seorang maut

Ayob Khan menunjukkan foto bot pancung, tekong dan dua pembantunya yang ditahan pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
Ayob Khan menunjukkan foto bot pancung, tekong dan dua pembantunya yang ditahan pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah bot pancung membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia terbalik sebelum karam selepas melanggar sebuah bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) di Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Kota Tinggi malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 9 malam itu, bot membawa lapan PATI untuk ke Batam, Indonesia itu cuba melarikan diri selepas dihampiri dua bot PPM Wilayah 2 PSC48 dan RH32 yang sedang meronda di perairan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua bot PPM Wilayah 2 itu kemudian mengejar selama 20 minit sebelum bot pancung berkenaan yang dikepung melanggar bot PPM PSC48.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, bot pancung berkenaan terbalik dan kesemua PATI di dalam bot tersebut jatuh ke dalam laut.

"Polis Marin kemudian menyelamatkan enam warga asing itu iaitu seorang tekong dan dua lagi pembantu tekong yang berasal dari Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia manakala tiga lagi adalah migran.

"Semua mereka berusia 30 hingga 43 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang PATI lagi ditemukan maut manakala seorang lagi masih hilang dalam laut.

"Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Daerah Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Operasi mencari seorang yang hilang masih diteruskan," katanya.

Beliau berkata, pelanggaran tersebut mengakibatkan Bot Polis Marin PSC48 mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

"Bot pancung itu pula dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah 2 di Pengerang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26(A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, seramai 95 individu di seluruh negeri ditahan semalam yang berusia antara 17 hingga 50 tahun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jumlah terbaharu itu katanya, menjadikan mereka yang ditahan di negeri ini kerana melanggar PKP sejak mula dilaksanakan sehingga semalam seramai 2,763 orang dan mereka yang sudah didakwa atas kesalahan itu pula 1,661 orang.