Jerebu: Tiada keperluan hantar nota diplomatik kepada Indonesia

SEREMBAN - Malaysia tidak berhasrat menghantar nota diplomatik atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk ketika ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk mengambil tindakan sedemikian, malah ia boleh memberi kesan kepada hubungan baik kedua-dua negara.
“Kita belum sampai ke tahap itu. Cakap dalam Parlimen senanglah dan kalau nak buat begitu, maknanya kita dah bersedia untuk memutuskan hubungan.
“Hubungan rapat kedua-dua negara ini perlu juga dijaga. Jadi, tidaklah sampai kita nak menghantar nota diplomatik,” katanya ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bagi Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Indonesia termasuk menghantar bantahan diplomatik susulan aktiviti pembakaran hutan secara terbuka di negara itu sehingga menyumbang kepada jerebu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, banyak perkara sensitif yang perlu diambil kira dalam menguruskan hubungan antara kedua-dua negara tanpa menjejaskan hubungan sedia ada.
Justeru katanya, tindakan menghantar nota diplomatik merupakan langkah terakhir dan Malaysia ketika ini memilih pendekatan perbincangan bagi menangani isu terbabit.
“Saya telah berbincang dengan rakan sejawat saya, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri juga telah pun menghubungi Presiden Indonesia bagi membincangkannya,” katanya.
Berkenaan serangan Houthi, Mohamad berkata, Malaysia mengecam sebarang tindakan agresif terhadap sebuah negara yang merdeka dan berharap rundingan gencatan senjata dapat diadakan segera.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak melarang rakyat negara ini untuk menunaikan ibadah umrah, namun menasihatkan supaya mereka menangguhkan perjalanan susulan kejadian berlaku.
"Kementerian Luar cuma memberi nasihat perjalanan kerana kita dapati pada masa ini perjalanan ke sana dikategorikan sebagai tidak selamat.
"Jadi, jika tidak ada apa-apa keperluan yang mendesak, Kementerian Luar menasihatkan supaya tangguhkan dulu. Jadi terpulanglah antara jemaah atau pun berunding dengan syarikat-syarikat yang menguruskan pakej umrah mereka kerana umrah ini boleh dibuat bila-bila masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

