10 warga India ditahan makan, minum arak dalam restoran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seramai 10 lelaki warga India ditahan kerana dipercayai makan beramai-ramai dan minum minuman keras di sebuah restoran daun pisang di Jalan Tun Abdul Razak di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mereka yang berusia 19 tahun hingga 44 tahun itu ditahan pasukan polis Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada jam 8.50 malam.

"Pasukan polis yang menjalankan pemantauan koronavirus (Covid-19) di kawasan Ipoh Barat terdengar bunyi bising di dalam restoran berkenaan sebelum bertindak membuka pintu dan mendapati 10 lelaki sedang makan dan meminum minuman keras," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati jarak rumah semua tangkapan dengan restoran itu hanya kira-kira 30 meter.

Beliau berkata, susulan itu polis merampas lesen perniagaan Majlis Bandaraya Ipoh milik restoran tersebut selain tiga botol arak jenama 'A Class'.

"Kesemua tangkapan mengakui tahu dan faham Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan berikutan penularan penyakit Covid-19 di negara ini.

"Kesemua lelaki itu kini ditahan di lokap sementara mendapatkan perintah reman hari ini," katanya.

Katanya, mereka ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan pelanggaran Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: