Insiden bot karam: 14 maut termasuk wanita dan kanak-kanak

BIHAR - Sekurang-kurangnya 14 orang maut selepas sebuah bot yang membawa penumpang karam di Sungai Ganga berhampiran Kampung Rampur Shyamchand, daerah Vaishali, Bihar, India.
Ramai wanita dan kanak-kanak dipercayai antara mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Menurut perkembangan terkini yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Raghopur merangkap pemimpin Rashtriya Janata Dal (RJD), Tejashwi Yadav, enam mangsa dimasukkan ke hospital manakala tiga lagi berjaya diselamatkan.
Kejadian itu berlaku di bawah bidang kuasa Balai Polis Raghopur.
Menurut laporan awal, beberapa kanak-kanak menaiki bot berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri jamuan.
Laporan awal sebelum ini menyatakan antara lima hingga lapan orang mungkin maut dalam kejadian itu.
Pegawai Daerah Vaishali, Varsha Singh, pada mulanya mengesahkan bahawa 11 orang maut susulan kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, Tejashwi kemudian memaklumkan bahawa 14 mayat telah ditemukan.
Maklumat lanjut berhubung punca kejadian serta identiti mangsa masih dinantikan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menyalurkan pampasan kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban.
Arahan juga telah dikeluarkan kepada pihak pentadbiran supaya mempercepatkan operasi bantuan dan menyelamat serta memastikan mangsa yang cedera menerima rawatan perubatan sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

