Rakyat perlu terus beri kerjasama

Anggota polis bersama tentera dan Rela terus melakukan sekatan jalan raya untuk memeriksa kenderaan yang melalui jalan utama di Felda Mempaga, Bentong semalam. - Foto Bernama
Anggota polis bersama tentera dan Rela terus melakukan sekatan jalan raya untuk memeriksa kenderaan yang melalui jalan utama di Felda Mempaga, Bentong semalam. - Foto Bernama
A
A
A

TUJUH hari sudah berlalu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dilakukan. Namun, kerajaan masih lagi perlu berkali-kali mengingatkan masyarakat supaya mematuhi arahan PKP.

Selepas PKP fasa dua yang berakhir 14 April dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 April depan, masyarakat sepatutnya sudah faham betapa pentingnya untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 yang telah tersebar di 185 negara.

Begitupun, hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai individu yang ditangkap kerana ingkar arahan PKP.

Jumlah tangkapan yang berterusan ini amat mengecewakan kerana segelintir rakyat Malaysia seolah-olah tidak takut pada wabak yang telah mengorbankan lebih 171,000 nyawa di seluruh dunia.

Sejak kerajaan mengumumkan beberapa sektor tambahan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP, bilangan orang yang keluar dari rumah naik mendadak sehinggakan ada kalanya jalan raya sesak dengan kenderaan.

Persoalannya, adakah mereka yang keluar rumah itu benar-benar atas tujuan bekerja atau alasan semata-mata?

Penulis sendiri dapat melihat orang ramai keluar membeli-belah dengan membawa ahli keluarga di sebuah pasar raya di Ampang, Selangor baru-baru ini sedangkan kerajaan tegas mengatakan hanya seorang wakil keluarga dibenarkan.

Sehingga kini, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP juga mencatat lebih 14,000 tangkapan.

Artikel Berkaitan:

Memasuki fasa tiga PKP, walaupun polis memberi amaran tidak lagi mengeluarkan kompaun terhadap individu yang ingkar arahan PKP sebaliknya mereka yang ditangkap akan terus dikenakan tindakan mahkamah, tetap sahaja ada individu yang ingkar.

Melampau

Benar, jika hendak dibandingkan, bilangan masyarakat yang degil ini tidaklah melampau seperti di Amerika Syarikat apabila ribuan penduduk negara itu mula berhimpun tanpa mempedulikan penjarakkan sosial semata-mata mahu menunjukkan protes terhadap perintah duduk di rumah yang dilaksanakan di negara mereka.

Bagaimanapun, bilangan tangkapan individu ingkar PKP yang dilihat seolah-olah tiada noktah ini cukup membimbangkan dan terbukti bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat kita masih rendah.

Bahkan, setiap kali penulis menyemak media sosial pasti ada sahaja pihak yang menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan pelaksanaan PKP.

Tidak kurang juga yang mengkritik dan berkongsi pendapat sendiri yang merasakan pelaksanaan PKP ini bukanlah jalan terbaik bagi memutuskan jangkitan Covid-19.

Ini adalah masa untuk rakyat ketepikan ego, dan sifat pentingkan diri sendiri.

Kita perlu faham, anggota pasukan keselamatan bukanlah suka-suka menyekat pergerakan atau menyusahkan orang ramai menerusi sekatan jalan raya yang dilaksanakan.

Malah, mereka juga perlu berdepan risiko dijangkiti Covid-19 di samping terpaksa berjauhan daripada keluarga hanya untuk menjaga kesejahteraan orang ramai.

Rakyat juga perlu bersyukur atas tindakan pantas kerajaan yang mengumumkan pelaksanaan PKP sebaik sahaja wabak itu mula memasuki negara ini.

Tindakan pantas itu perlu dipuji kerana telah membantu dari segi mengekang penularan wabak ini dengan lebih agresif.

Penulis yakin langkah terbaik untuk menghadapi wabak ini ialah adalah dengan bersatu dan berhadapan dengannya sebagai sebuah bangsa Malaysia yang kuat dan berdisiplin.

Dalam konteks ini, kita perlu sedar tanggungjawab untuk menangani wabak ini bukan tugas anggota perubatan atau kerajaan semata-mata sebaliknya ia membabitkan seluruh lapisan masyarakat mengikut kapasiti masing-masing.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita perlu bersikap matang, rasional, dan berdisiplin.

Patuhilah PKP, duduk di rumah dan jadilah masyarakat yang jujur.

Jika tidak berkemampuan untuk memberi bantuan berbentuk fizikal, setidaknya kita bantu petugas barisan hadapan dengan tidak sewenang-wenangnya ingkar arahan PKP demi kepentingan diri sendiri.

* Nur Huda Musa ialah Wartawan Sinar Harian meja Global