Anggota tentera maut dilanggar lori selepas tercampak dari jejambat

Seorang anggota tentera maut selepas tercampak dari atas jejambat ketika motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Seorang anggota tentera maut selepas tercampak dari atas jejambat ketika motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera maut selepas tercampak dari atas jejambat ketika motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada jam 8.04 pagi itu mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi dengan menunggang motosikal Honda Wave.

Menurutnya, ketika melalui susur jejambat untuk membuat pusingan U, mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum tercampak dari jejambat berketinggian kira-kira lima meter ke jalan raya di bawah, manakala motosikalnya berada di jejambat.

"Mangsa yang terjatuh telah menimpa seorang lelaki berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.

"Pada masa sama, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, akibat kemalangan, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.

"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!