Empat lelaki didakwa bunuh, subahat bunuh penjual durian

KUALA LUMPUR - Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Selasa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan seorang penjual durian yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih, Selangor, bulan lepas.
Asrul Siwi, 32; Amirul Maamur Rosli, 27; Amri Rizani Darus, 36, dan warga Indonesia Rijal Haryono, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Asrul dan Amirul Maamur bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh Mulialisman Nordi, 34, di Batu 28, Sungai Lalang, Mukim Ulu Semenyih di Hulu Langat, antara 24 dan 25 September lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.
Dua lagi tertuduh, Amri Rizani dan Rijal pula didakwa bersubahat membantu Asrul dan Amirul Maamur membunuh mangsa dengan cara melarikan si mati serta membantu mengasah cangkul di tempat dan masa yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 akta sama yang membawa hukuman serupa, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 29 September lepas, media melaporkan seorang penjual durian disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu menaiki sebuah kereta jenis Honda dari sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya, sebelum mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
