Mesra Run 2.0 tarik 2,000 peserta, dua kali ganda berbanding tahun lalu

KIRA-KIRA 2,000 peserta menyertai Mesra Run 2.0 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Terengganu, sekali gus mencatatkan peningkatan dua kali ganda berbanding penyertaan sekitar 1,000 orang pada tahun lalu.
Program yang berlangsung di Mesra Mall itu merupakan acara kemuncak sambutan HSN 2026 Peringkat Terengganu yang diadakan selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Oktober dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT).
Pengurus Besar Mesra Mall, Aziam Muhammad berkata, penganjuran kali kedua tersebut menawarkan tiga kategori utama iaitu larian 10 kilometer (km), larian santai 5km dan Berjalan Ria Madani sejauh 3km.
Menurutnya, penganjuran tahun ini dibuat pada skala lebih besar berbanding edisi sulung yang hanya melibatkan larian santai 5km.
“Tahun lepas program ini hanya melibatkan larian santai sejauh 5km dengan penyertaan kira-kira 1,000 orang, namun tahun ini penganjurannya lebih besar selaras dengan sambutan HSN 2026 peringkat negeri,” katanya ketika ditemui pada Program Mesra Run 2.0 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 1,455 orang mengambil bahagian dalam kategori 5km Fun Run manakala 545 peserta menyertai kategori 10km.
Bagaimanapun katanya, laluan bagi kategori 10km terpaksa dipendekkan kepada 5km susulan keadaan jerebu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada peserta.

“Walaupun berlaku perubahan pada laluan, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran peserta dan penyokong yang memenuhi kawasan sekitar Mesra Mall.
“Kami juga berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh JBSNT yang menjadi antara tonggak utama kejayaan program ini,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan; Pengurus Besar Sumber Manusia Suria KLCC Sdn Bhd, Rose Haniff serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad.
Sementara itu, sambutan HSN 2026 Peringkat Terengganu telah dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Pada majlis sama, Francis turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Mesra Run 2.0.
Mengulas lanjut, Aziam berkata, acara tersebut merupakan kesinambungan kempen kesedaran kesihatan mental yang dilaksanakan Mesra Mall bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan fizikal dalam menyokong kesejahteraan mental.
Menurutnya, program itu juga selaras dengan usaha menjadikan Mesra Mall sebagai hab komuniti yang menyediakan ruang untuk pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi keluarga, selain fungsi utamanya sebagai destinasi membeli-belah.

“Pada tahun ini sebanyak 14 acara sukan lain turut diadakan sebagai sebahagian daripada Mesra Run bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.
“Antara kemudahan yang disediakan di Mesra Mall termasuk gelanggang futsal, 12 gelanggang badminton serta ruang bagi aktiviti memanah, catur dan sukan dron,” katanya.
Selain aktiviti sukan dan rekreasi, pengunjung turut boleh menikmati pelbagai pilihan membeli-belah di pusat beli-belah moden yang diuruskan oleh Suria KLCC itu, yang berkeluasan kira-kira 233,000 kaki persegi serta menempatkan 54 premis perniagaan.
Dalam pada itu, Abdul Kahar berkata, HSN 2026 bertujuan menggalakkan rakyat Terengganu menjadikan sukan dan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin harian.
“Kita mahu penyertaan dalam sukan terus berkembang dan amalan hidup aktif diteruskan setiap masa.
“Bertemakan ‘Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan’, sambutan HSN 2026 turut menekankan penyertaan masyarakat yang lebih menyeluruh, termasuk warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
