Remaja perlu tahu cara betul urus emosi

Pada usia ketika identiti diri sedang dibentuk, penolakan, perselisihan atau tekanan rakan sebaya boleh menjadi pengalaman yang sukar bagi sesetengah individu. Gambar hiasan
Pada usia ketika identiti diri sedang dibentuk, penolakan, perselisihan atau tekanan rakan sebaya boleh menjadi pengalaman yang sukar bagi sesetengah individu. Gambar hiasan
A
A
A

KES pembunuhan melibatkan remaja yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan masyarakat, khususnya apabila kejadian turut berlaku dalam persekitaran sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar menuntut ilmu.

Kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, pada 3 Oktober lalu, mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan serta hubungan sosial dalam kalangan remaja.

Dalam perkembangan berasingan, dua pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa membunuh Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah pada 25 September lalu.

Pada 9 Oktober, polis mengesahkan siasatan kes bunuh seorang remaja berusia 18 tahun yang mayatnya ditemukan berhampiran Jalan Harvard-Gurun, Kedah, dengan 14 individu direman.

Rentetan kejadian ini tidak semestinya membuktikan kadar pembunuhan remaja meningkat secara statistik.

Namun, kejadian berkenaan cukup untuk menuntut penelitian serius terhadap faktor yang mendorong keganasan serta keberkesanan langkah pencegahan sedia ada.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan remaja mengurus emosi, kekecewaan dan konflik.

Pada usia ketika identiti diri sedang dibentuk, penolakan, perselisihan atau tekanan rakan sebaya boleh menjadi pengalaman yang sukar bagi sesetengah individu. Namun, emosi negatif tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan keganasan, apatah lagi sehingga meragut nyawa.

Dalam kes Irene Sofiya, polis percaya dendam berkaitan penolakan cinta menjadi antara motif yang sedang disiasat. Perkembangan itu memperlihatkan pentingnya pendidikan mengenai batas hubungan, penerimaan terhadap keputusan orang lain dan pengurusan emosi.

Artikel Berkaitan:

Perasaan kecewa atau cemburu tidak memberikan sesiapa hak untuk mengawal, mengugut atau mencederakan individu lain.

Bagaimanapun, punca setiap kes perlu diteliti berdasarkan bukti dan hasil siasatan. Tidak wajar semua kejadian dikaitkan dengan buli, masalah keluarga, pengaruh media sosial atau kesihatan mental tanpa asas yang jelas.

Pada masa sama, pendidikan pengurusan emosi dan penyelesaian konflik perlu diperkukuh sejak awal.

Ibu bapa, guru dan kaunselor perlu bekerjasama mengenal pasti perubahan tingkah laku yang membimbangkan, ancaman berulang atau kecenderungan mengugut orang lain.

Sebarang petunjuk perlu dinilai secara profesional, bukannya dijadikan alasan melabel seseorang remaja sebagai penjenayah.

Masyarakat pula perlu mengelakkan penyebaran spekulasi mengenai motif, identiti atau latar belakang individu terlibat, khususnya apabila membabitkan kanak-kanak dan remaja.

Penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja menjejaskan siasatan, malah boleh menambah penderitaan keluarga mangsa.

Akhirnya, tragedi seumpama ini tidak boleh ditangani melalui hukuman selepas kejadian semata-mata. Penguatkuasaan undang-undang perlu berjalan seiring dengan pencegahan, pengawasan dan pendidikan.

Nyawa yang hilang tidak mungkin dikembalikan. Namun, tindakan bersepadu yang berasaskan bukti dan dilaksanakan secara konsisten mampu mengurangkan risiko tragedi berulang.

Persoalannya bukan sekadar siapa yang bersalah selepas kejadian, tetapi sejauh mana semua pihak telah berusaha memastikan kejadian itu dapat dicegah dari awal.

*Zulhilmi Hat ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!