'Ambillah seberapa banyak timun di ladang saya'

Yusof bersama timun yang diberikan percuma kepada orang ramai.
Yusof bersama timun yang diberikan percuma kepada orang ramai.
A
A
A

JERANTUT - Seorang pengusaha ladang timun di Ulu Cheka di sini menawarkan hasil tanaman tersebut secara percuma kepada orang ramai.

Yusof Lang Buana, 60, menawarkan timun secara percuma berikutan lambakan hasil tanaman itu akibat tidak dapat menjualnya kepada pemborong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehingga kini lebih satu tan lambakan timun di ladang yang seluas kira-kira 0.8 hektar.

"Memandangkan saya pun tidak dapat menjual timun kepada pemborong selain beberapa masalah seperti kos dan kekangan pergerakan, jadi saya fikir daripada membazir lebih baik saya bagi sahaja kepada orang ramai," katanya kepada Sinar Harian.

Lambakan timun yang boleh diambil secara percuma.
Lambakan timun yang boleh diambil secara percuma.

Menurutnya, orang ramai boleh memetik sendiri buah tersebut di ladangnya atau mengambil timun yang diletakkan di kedai- kedai runcit di kampung itu.

"Timun di ladang itu boleh bertahan kira-kira seminggu lagi sebelum ia terlalu masak dan tidak sesuai dimakan.

"Tiada had, ambil dan petik di ladang saya hingga habis selagi ada boleh ambil. Buat masa ini saya memang telah hentikan segala pengeluaran dan memetik buah itu.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun rugi tetapi saya akur dengan musim koronavirus (Covid-19) bukan sahaja berlaku di Malaysia tapi banyak negara hadapi situasi sama," katanya yang mula mengusahakan tanaman itu pada Februari lalu.

Katanya, dia hanya sempat menjual sehingga dua tan hasil tanaman itu kepada pemborong dan peraih sebelum perintah PKP dikuatkuasakan.