Jerebu: Ujian PKSK, STAM di Melaka diteruskan - JPN

MELAKA - Pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Melaka diteruskan mengikut jadual ditetapkan esok walaupun semua sekolah di negeri itu diarahkan tutup susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka memaklumkan semua calon terlibat diminta merujuk makluman dan arahan lanjut yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi jabatan itu berkaitan pelaksanaan kedua-dua pentaksiran dan peperiksaan tersebut.
"JPN Melaka akan terus memantau perkembangan semasa, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan yang berkaitan dan menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat sebarang perubahan mengenai pengoperasian institusi pendidikan.
"Ibu bapa, penjaga, calon peperiksaan dan pihak sekolah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk saluran rasmi JPN Melaka bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini selain mematuhi semua ketetapan," menurut kenyataan itu.
Menurut jabatan itu, aspek kesihatan serta keselamatan murid dan seluruh warga pendidik kekal menjadi keutamaan pihaknya bagi memastikan pengurusan institusi pendidikan berjalan lancar sepanjang tempoh cuaca tidak sihat ini.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya ditutup esok susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
Penutupan turut melibatkan sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat dan Sepang di Selangor serta sekolah di PPD Kuantan dan Rompin, Pahang.
Sesi persekolahan di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
