Pemasangan sistem telematik kenderaan perdagangan berperingkat - Anthony

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan sebelum diwajibkan dalam tempoh yang munasabah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan itu akan memberi tempoh peralihan yang mencukupi kepada pengusaha kenderaan perdagangan.
Beliau berkata, tempoh peralihan itu akan disertai langkah galakan sebelum pemasangan sistem berkenaan diwajibkan sepenuhnya.
"Pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan ini telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, tetapi saya nak perjelaskan bahawa ini akan dilaksanakan secara berperingkat, bukan tahun depan kita terus wajibkan.
"Kita akan berikan tempoh peralihan yang secukupnya kepada pengusaha-pengusaha kenderaan perdagangan. Jadi bermula tahun depan secara beransur-ansur kita bagi tempoh peralihan, galakan dan sebagainya tetapi akan diwajibkan dalam satu tempoh yang munasabah," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar susulan Belanjawan 2027 di sini pada Isnin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan, kerajaan akan mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.
Sistem itu turut akan dihubungkan dengan alat pengesan alkohol bagi memastikan pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol sebelum memulakan perjalanan.
Pelaksanaan secara sukarela akan dijalankan sehingga 2027, sementara kerajaan membangunkan pangkalan data pemandu bagi memperkukuh penguatkuasaan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, beberapa penyedia sistem telematik telah dikenal pasti dan diaudit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan sistem yang ditawarkan memenuhi piawaian ditetapkan.
Beliau berkata, sistem telematik berkenaan ditawarkan oleh syarikat swasta dan bukan disediakan oleh kerajaan, selain terdapat pelbagai pilihan sistem di pasaran yang boleh dipilih oleh pengusaha kenderaan perdagangan.
"Sistem ini berfungsi seperti kamera papan pemuka (dashcam) yang dilengkapi perisian untuk merekod dan memantau tingkah laku pemandu, termasuk pergerakan mata, cara membrek dan pecutan ketika memandu.
"Sistem itu turut mempunyai ciri ujian nafas dan pemantauan denyutan nadi bagi membantu mengesan kemungkinan pemandu berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
"Jadi, mengapa kita nak ke arah itu? Sebab kemalangan-kemalangan kita lihat ini yang melibatkan kenderaan berat, banyak yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh dadah," katanya.
Menurutnya, pengusaha kenderaan perdagangan boleh memilih penyedia sistem telematik yang telah memenuhi piawaian ditetapkan JPJ, manakala pelaksanaan secara wajib akan diperincikan secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

