DBKL, polis bincang wujud pusat kawalan CCTV bersama yang kedua

Hannah melihat pengunaan peralatan ICT di Balai Polis Sentul di sini pada Isnin.
Hannah melihat pengunaan peralatan ICT di Balai Polis Sentul di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengadakan perbincangan bagi mewujudkan sebuah lagi pusat kawalan bersama untuk memudahkan polis mengakses sistem kamera litar tertutup (CCTV) di ibu negara.

Sebelum ini pusat kawalan bersama sudah diwujudkan sejak 2020 bagi menyelaras pengoperasian CCTV di sekitar Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Kuala Lumpur mempunyai kira-kira 10,000 CCTV yang membantu pemantauan keselamatan di seluruh bandar raya itu.

"Cadangan mewujudkan satu lagi pusat kawalan bersama bertujuan memudahkan akses polis kepada sistem berkenaan, sekali gus menyokong penyelarasan operasi antara DBKL dengan pihak berkuasa.

"Kerjasama rapat antara DBKL dengan polis juga penting dalam pengurusan lalu lintas, penutupan jalan serta pelaksanaan pelbagai program dan acara di ibu negara," katanya.

Hannah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sumbangan Peralatan peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam.

Hannah berkata, walaupun Kuala Lumpur dilengkapi sistem CCTV pintar, pemantauan di lapangan masih memerlukan penglibatan anggota polis bagi memastikan pergerakan lalu lintas berjalan lancar.

"Kerjasama itu turut merangkumi penyelarasan tindakan berkaitan keselamatan serta pengurusan aduan orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah berkata peruntukan RM100,000 turut disalurkan bagi membantu menampung sebahagian kos logistik polis yang terbabit dalam program DBKL.

"Bantuan itu antaranya bagi menyokong keperluan operasi polis ketika melaksanakan tugas kawalan lalu lintas dan penutupan jalan sempena program di Kuala Lumpur," katanya.

Mengulas lanjut Hannah memaklumkan peruntukan RM60,000 daripada Parlimen Segambut disalurkan kepada tiga balai polis bagi menyediakan peralatan ICT untuk meningkatkan kemudahan di kaunter hadapan, sekali gus memudahkan urusan orang ramai membuat laporan polis.

Hannah berkata, sebanyak empat set komputer dan pencetak telah diagihkan kepada Balai Polis Sentul, Kepong dan Jinjang.

"Peruntukan kawasan Parlimen juga boleh membantu agensi kerajaan menyelesaikan keperluan tertentu yang tidak diperuntukkan dalam bajet tahunan masing-masing.

"Bantuan seumpama itu bukan hanya membabitkan peralatan di balai polis, malah boleh disalurkan bagi membaiki kemudahan atau menyediakan kelengkapan lain mengikut keperluan setempat," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!