Liu Ying pacu semangat sukan kanak-kanak

KEHADIRAN bekas jaguh beregu campuran badminton negara, Goh Liu Ying menyuntik semangat peserta Kidsnergy x iMedia Pickleball Day yang giat membuat persiapan menjelang Kidsnergy Malaysia International Games 2026 sempena Hari Sukan Negara, Sabtu ini.
Liu Ying yang juga duta dan pengasas Kidsnergy turun padang memberi tunjuk ajar dalam sesi latihan pickleball baru-baru ini, sekali gus membantu peserta membina keyakinan, kemahiran serta semangat kesukanan sebelum hari kemuncak di Arena Sukan Kuala Lumpur.
Program itu bukan sekadar memberi pendedahan terhadap teknik permainan, malah membuka ruang kepada kanak-kanak untuk belajar, bermain dan mencabar kemampuan masing-masing menerusi pelbagai aktiviti.
Antaranya latihan teknikal pickleball, pemanasan dinamik dan pemulihan sukan, Kidsnergy Challenge Match, penghasilan kandungan bersama iMedia serta sesi perkongsian "My Pickleball Story".
“Selain didedahkan dengan latihan teknikal pickleball, pemanasan dinamik dan pemulihan sukan serta Kidsnergy Challenge Match, peserta turut diberi peluang bercerita mengenai kisah masing-masing menerusi "My Pickleball Story",” kata Liu Ying.
Menurutnya, sesi berkenaan menjadi antara platform persediaan peserta sebelum menyertai Kidsnergy Malaysia International Games 2026 yang mempertandingkan badminton, pickleball, bola tampar dan Kidsrix.

Bersempena Hari Sukan Negara, acara badminton dan bola tampar akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini, manakala pertandingan pickleball dijadualkan pada 16 hingga 18 Oktober.
“Kidsnergy Malaysia Games menghimpunkan elemen sukan, kemahiran, persahabatan dan pengalaman dalam satu komuniti Kidsnergy sebagai satu platform, pelbagai sukan dalam satu komuniti,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.
Sementara itu, pengasas bersama Kidsnergy, Wong Kang Woon, mengumumkan tarikh baharu Kidsnergy Grand Finale Run, iaitu larian khas untuk kanak-kanak dan keluarga bagi meraikan gaya hidup aktif serta semangat kebersamaan.
Acara berkenaan akan berlangsung di Dataran DBKL pada 13 Disember depan sebagai sebahagian daripada rangkaian Kidsnergy Malaysia Games.
Kang Woon turut menyeru pengikut Kidsnergy supaya tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan dan menjadi sebahagian daripada perjalanan komuniti berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
