Ahli Parlimen Rantau Panjang cedera dalam kemalangan

LIPIS – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan kendiri di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Kechau Tui di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika kenderaan berkenaan dipandu anak perempuan mangsa yang berusia 26 tahun.
Menurutnya, dua beranak itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu SUV berkenaan hilang kawalan sebelum kenderaan itu berpusing dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang iaitu Ahli Parlimen Rantau Panjang mengalami kecederaan di bahagian dada serta perut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ismail memberitahu, mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya lagi, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, beliau turut memohon kerjasama orang ramai atau mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
"Polis juga menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

