Populasi dunia kian menua

PENDUDUK dunia kini sedang melalui proses penuaan yang semakin ketara, seiring dengan perubahan demografi yang berlaku di pelbagai negara.
Pada masa sama, pertumbuhan penduduk global berpotensi menghampiri titik tertinggi menjelang akhir abad ini.
Menurut World Population Prospects 2024, jumlah penduduk dunia akan terus meningkat dalam tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang sebelum mencapai kemuncak sekitar 10.3 bilion orang pada pertengahan tahun 2080-an berbanding 8.2 bilion pada 2024.
Trend itu dijangka berubah selepas populasi dunia mencapai kemuncaknya sebelum menurun kepada kira-kira 10.2 bilion orang menjelang 2100.
Kebarangkalian pertumbuhan penduduk dunia mencapai tahap kritikal pada abad ini kini dianggarkan sebanyak 80 peratus, jauh lebih tinggi berbanding hanya 30 peratus pada 2013.
Anggaran jumlah penduduk dunia bagi tahun 2100 juga sekitar 700 juta lebih rendah berbanding unjuran terdahulu. Ia berpunca daripada kadar kesuburan yang lebih rendah daripada jangkaan di beberapa negara utama khususnya China.
Menjelang akhir 2070-an, jumlah penduduk dunia berumur 65 tahun dan ke atas akan mencecah 2.2 bilion orang, sekali gus melebihi jumlah kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.
Pada pertengahan 2030-an pula, bilangan individu berumur 80 tahun dan ke atas akan mencapai sekitar 265 juta orang melebihi jumlah bayi di seluruh dunia.
Malah, negara-negara yang kini mengalami pertumbuhan penduduk yang pesat juga bakal berdepan dengan peningkatan jumlah warga emas dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Memandangkan wanita secara umumnya mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding lelaki, dasar dan perancangan sosial juga perlu mengambil kira keperluan golongan itu.
Hal ini termasuk memastikan akses yang adil kepada faedah persaraan, memperkukuh sistem kesihatan dan memastikan kelestarian sistem perlindungan sosial serta mengurangkan beban penjagaan yang sering ditanggung oleh ahli keluarga.
Dalam pada itu, migrasi antarabangsa memainkan peranan penting dalam menangani kesan penurunan penduduk akibat kadar kesuburan rendah dan populasi yang semakin menua.
Menjelang 2054, penghijrahan dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan penduduk di 52 negara termasuk Australia, Kanada dan Amerika Syarikat (AS). Jumlah tersebut berkemungkinan meningkat kepada 62 negara pada tahun 2100.
Dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, jangka hayat global telah kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19. Pada 2023, jumlah kematian kanak-kanak bawah umur lima tahun menurun kepada kurang daripada lima juta orang buat kali pertama.
Perkembangan ini turut berlaku di Republik Demokratik Congo, India, Nigeria dan Pakistan yang masih mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi sehingga tahun 2054.
Purata jangka hayat global diunjurkan meningkat kepada sekitar 77.4 tahun pada tahun 2054. Ia bukan sahaja mencerminkan kemajuan dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan manusia malah berpotensi menyokong pertumbuhan penduduk serta memperlahankan kadar penyusutan populasi.
Kesan tersebut lebih ketara di negara yang mencatat penurunan kadar kematian di samping menerima manfaat daripada kemasukan penduduk dari negara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

