Jerebu: Semua sekolah di Pahang beroperasi seperti biasa esok

KUANTAN - Semua sekolah di negeri Pahang akan beroperasi seperti biasa pada Isnin.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang memaklumkan, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa situasi jerebu serta bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).
Menurutnya, sebarang perubahan terhadap pengoperasian sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.
"Pihak sekolah diminta untuk sentiasa peka terhadap pemakluman rasmi serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah.
"Ibu bapa dan penjaga juga disaran mengikuti makluman terkini yang disampaikan oleh pihak sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jumaat lalu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Pahang di Rompin ditutup sementara berikutan keadaan semasa jerebu dan bacaan IPU yang direkodkan di daerah tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan terdahulu menjelaskan status pengoperasian sekolah akan ditentukan berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setiap hari, susulan situasi jerebu yang masih berterusan di negara ini.
Pengarah Pendidikan Negeri (PPN) diarahkan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Pemantau Jerebu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memantau indeks IPU jerebu mengikut ketetapan masa pada setiap hari.
Berdasarkan maklumat dan data oleh jawatankuasa berkenaan, PPN memutuskan sama ada sekolah beroperasi seperti biasa atau melaksanakan kaedah Belajar Dari Rumah (BDR) menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sehingga jam 3 petang pada Ahad, dua stesen merekodkan status bacaan IPU tidak sihat iaitu di Balok Baru, Kuantan (159) dan Rompin (137).
Dalam perkembangan berkaitan,semua guru, murid, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan warga sekolah digalakkan memakai pelitup muka demi keselamatan dan kesihatan bersama.
"Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah disaran untuk sentiasa mengikuti pemakluman rasmi daripada pihak sekolah.
"Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan kekal menjadi keutamaan JPN Pahang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

