Batik seludup RM1.76 juta dari Thailand dirampas

Kain batik yang diseludup dipercayai akan dihantar ke sebuah rumah di Pasir Tumbuh, Kota Bharu sebelum dipasarkan sebagai kain batik bermutu tinggi Terengganu. Foto: PGA
Kain batik yang diseludup dipercayai akan dihantar ke sebuah rumah di Pasir Tumbuh, Kota Bharu sebelum dipasarkan sebagai kain batik bermutu tinggi Terengganu. Foto: PGA
A
A
A

TUMPAT - Kegiatan penyeludupan kain batik dari Thailand yang dipercayai mahu dipasarkan sebagai batik bermutu tinggi Terengganu terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 8,800 helai kain bernilai RM1.76 juta dalam serbuan di Kampung Simpangan di sini pada Selasa.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan hasil kerjasama anggota risik, Task Force, Pos PK 4 Batalion 8 PGA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengkalan Kubor.

Menurut beliau, operasi bermula kira-kira jam 7.30 pagi selepas pasukan keselamatan menjalankan pemantauan menggunakan dron di sebuah pangkalan haram di Nibong di sini.

"Hasil pemerhatian mendapati sebuah lori memasuki kawasan pangkalan haram tersebut sebelum sebuah perahu dari arah Thailand tiba membawa beberapa guni berwarna biru dan putih.

"Beberapa lelaki kemudian dilihat memunggah guni-guni berkenaan ke dalam bahagian belakang lori sebelum kenderaan itu bergerak keluar dalam keadaan mencurigakan," katanya pada Selasa.

Ujar beliau, pasukan serbuan kemudian menahan lori jenis Isuzu Hicom berwarna putih dan melakukan pemeriksaan ke atas muatannya.

Kegiatan penyeludupan kain batik dari Thailand yang dipercayai mahu dipasarkan sebagai batik bermutu tinggi Terengganu terbongkar apabila PGA merampas 8,800 helai kain bernilai RM1.76 juta dalam serbuan di Kampung Simpangan, Tumpat pada Selasa.Foto: PGA
Kegiatan penyeludupan kain batik dari Thailand yang dipercayai mahu dipasarkan sebagai batik bermutu tinggi Terengganu terbongkar apabila PGA merampas 8,800 helai kain bernilai RM1.76 juta dalam serbuan di Kampung Simpangan, Tumpat pada Selasa.Foto: PGA

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati guni-guni tersebut mengandungi 8,800 helai kain batik yang dipercayai diseludup dari Thailand.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, seorang pemandu lori berusia 32 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu lori menerima upah RM50 bagi menghantar muatan berkenaan.

"Kain batik tersebut dipercayai akan dihantar ke sebuah rumah di Pasir Tumbuh, Kota Bharu sebelum dipasarkan sebagai kain batik bermutu tinggi Terengganu.

"Bagaimanapun, suspek mendakwa tidak mengetahui destinasi sebenar pemasaran kain-kain tersebut," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Ujarnya, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada JKDM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut. in

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!