Belanjawan 2027: Asas kukuh percepat pertumbuhan ekonomi - Bank Islam

KUALA LUMPUR – Tumpuan terhadap industri strategik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pendigitalan, ekonomi halal serta peralihan tenaga dalam Belanjawan 2027 menyediakan asas kukuh untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Bhd, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, tumpuan itu turut meningkatkan daya tahan negara serta mewujudkan nilai mampan untuk jangka panjang.
Katanya, fasa pembangunan Malaysia seterusnya bukan sahaja bergantung kepada akses pembiayaan, tetapi juga keupayaan menggembleng sumber, inovasi dan bakat bagi meningkatkan produktiviti, mengukuhkan daya saing serta mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan saling berkait, pelaksanaan yang berkesan akan menjadi faktor penentu dalam menterjemahkan aspirasi dasar kepada impak yang nyata.
“Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam menyalurkan dana kepada aktiviti yang menyokong pembangunan negara dan kemajuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meneruskan dasar fiskal menerusi Belanjawan 2027 dengan peruntukan keseluruhan melonjak kepada RM510 bilion berbanding RM470 bilion sebelum ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM376.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus Persekutuan, manakala RM83 bilion lagi diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Raja Teh Maimunah berkata, Bank Islam melihat peranan mereka sebagai pemudah cara yang membantu perniagaan berinovasi, berkembang dan membina daya tahan jangka panjang, di samping memastikan peluang ekonomi kekal mudah diakses dan bersifat inklusif.
Menurutnya, berpandukan Maqasid Al-Shariah, pihaknya komited untuk menyokong inisiatif yang mewujudkan nilai berkekalan kepada perniagaan, komuniti dan negara.
“Bank Islam menyokong keutamaan kerajaan melalui usaha memperkasa pertumbuhan perniagaan, memperluas keterangkuman kewangan dan memudah cara pelaburan dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu.
“Kami akan terus menyokong PMKS, perniagaan halal dan usahawan melalui penyelesaian pembiayaan, perdagangan dan rantaian bekalan, di samping khidmat nasihat yang membantu perniagaan meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka,” ujarnya.
Raja Teh Maimunah memberitahu, pada masa sama pihaknya kekal komited dalam memudah cara pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau dan berkaitan peralihan melalui pembiayaan patuh syariah, penyelesaian kewangan mampan dan penawaran sukuk.
Bagi individu dan isi rumah, katanya, Bank Islam turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan menerusi pembiayaan bertanggungjawab, penyelesaian simpanan dan pengurusan kekayaan.
Tambah beliau, penyelesaian yang mudah diakses seperti Ar-Rahnu terus memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia merebut peluang ekonomi.
Selain itu, Raja Teh Maimunah berkata, Bank Islam melaksanakan inisiatif kewangan sosial menerusi Sadaqa House dan Program Pembangunan Keusahawanan iTEKAD yang menggabungkan pembiayaan, latihan serta bimbingan bagi membantu usahawan yang kurang mendapat akses perbankan dan golongan asnaf membina pendapatan mampan.
“Belanjawan 2027 membuka peluang untuk memperkukuh hubungan antara keutamaan negara, penyertaan sektor swasta dan hasil sosial yang positif.
“Sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia, kami percaya kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan pulangan kewangan semata-mata, tetapi juga impak yang diwujudkan serta nilai lebih luas yang disampaikan kepada masyarakat,” kata beliau.
Katanya lagi, fokus Bank Islam adalah untuk menterjemahkan aspirasi Belanjawan 2027 kepada hasil nyata yang mengukuhkan daya saing, memperluas peluang dan mewujudkan nilai berkekalan untuk perniagaan, komuniti dan negara, selaras dengan prinsip syariah yang menjadi panduan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

