Belanjawan 2027: Gunakan perbahasan untuk tangani kelemahan pencegahan penyakit – MyWATCH

SHAH ALAM – Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) menggesa kerajaan dan Ahli Parlimen menggunakan perbahasan Belanjawan 2027 serta proses penggubalan dasar seterusnya untuk menangani kelemahan aspek pencegahan penyakit dalam belanjawan yang diumumkan pada Jumaat.
Antara kelemahan yang dibangkitkan ialah ketiadaan kenaikan cukai eksais tembakau, ketiadaan dasar jelas untuk mengharamkan penjualan dan pengedaran produk vape bagi kegunaan rekreasi serta strategi pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lebih menyeluruh.
Presidennya, Roslizawati Md Ali, berkata pihaknya kecewa kerana belanjawan berkenaan tidak menunjukkan perubahan dasar yang tegas untuk melindungi kesihatan rakyat menerusi langkah fiskal bermakna dan pelaburan berterusan dalam promosi kesihatan.
Menurutnya, peningkatan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelantikan tetap doktor kontrak dan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan merupakan langkah positif. Namun, tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha mencegah penyakit sebelum rawatan diperlukan.
Katanya, kenaikan cukai tembakau secara signifikan merupakan antara langkah berkesan untuk mengurangkan tabiat merokok, mencegah golongan muda daripada mula merokok dan meningkatkan hasil kerajaan ketika perbelanjaan kesihatan terus meningkat.
“Susulan kenaikan yang amat tidak mencukupi sebanyak dua sen bagi setiap batang rokok yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, kami menjangkakan kerajaan akan menunjukkan tekad yang lebih tinggi pada tahun ini. Sebaliknya, tiada sebarang maklum balas.
“Ketika kerajaan berdepan kekangan fiskal dan peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan, mengapakah kerajaan gagal memanfaatkan langkah fiskal berkesan yang mampu melindungi nyawa, mengurangkan kos penjagaan kesihatan pada masa depan dan meningkatkan hasil negara?” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, Roslizawati mendesak kerajaan menaikkan cukai tembakau secara besar-besaran menerusi pelarasan tahunan automatik yang melebihi kadar inflasi dan pertumbuhan pendapatan.
Tegasnya, MyWATCH mencadangkan supaya cukai tembakau merangkumi sekurang-kurangnya 75 peratus daripada harga runcit bagi mengukuhkan usaha mengurangkan penggunaan produk berkenaan serta melindungi kesihatan awam.
Dalam isu vape pula, Roslizawati berkata pihaknya kecewa kerana tiada komitmen jelas untuk mengharamkan penjualan dan pengedaran komersial produk berkenaan, khususnya produk nikotin berperisa yang semakin mudah diakses golongan muda.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan dalam usaha mencegah NCD serta keperluan pembaharuan struktur bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara lebih mampan.
Menurutnya, Malaysia terus berdepan beban penyakit diabetes, hipertensi, penyakit kardiovaskular, kanser dan obesiti. Namun, strategi negara yang disokong pembiayaan jelas untuk membendung masalah berkenaan masih tidak mencukupi.
“Susulan itu, kami menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan cukai eksais tembakau yang bermakna dan mengumumkan dasar negara yang jelas untuk menamatkan penggunaan vape bagi tujuan rekreasi.
“Kami juga mahu kerajaan memperkukuh langkah fiskal yang menyokong persekitaran pemakanan lebih sihat serta mewujudkan pembiayaan khusus dan mampan bagi pencegahan NCD, promosi kesihatan dan penuaan sihat,” ujarnya.
Roslizawati menambah, pihaknya turut meminta ketelusan yang lebih tinggi mengenai cara dana awam akan dilaburkan untuk mencegah penyakit, dengan sasaran jelas dan hasil kesihatan yang boleh diukur.
Katanya, tanggungjawab melindungi kesihatan rakyat Malaysia tidak boleh diletakkan pada KKM semata-mata. Sebaliknya, Kementerian Kewangan dan setiap kementerian berkaitan mesti mengiktiraf bahawa dasar masing-masing secara langsung mempengaruhi kesihatan penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

