Alex Rins berang, bertelagah dengan marshal di GP Indonesia

Insiden membabitkan Rins dan marshal ketika sesi latihan Grand Prix (GP) Indonesia pada Jumaat.
Insiden membabitkan Rins dan marshal ketika sesi latihan Grand Prix (GP) Indonesia pada Jumaat.
A
A
A

PELUMBA Yamaha, Alex Rins, mencetuskan kontroversi apabila dirakam menunjukkan isyarat jari tengah kepada sekumpulan marshal dalam satu insiden tegang pada sesi latihan Grand Prix (GP) Indonesia pada Jumaat.

Insiden itu berlaku selepas pelumba dari Sepanyol berkenaan terjatuh menjelang penghujung sesi latihan petang di Litar Mandalika.

Mengikut peraturan baharu MotoGP, motosikal yang enjinnya terhenti selepas kemalangan tidak boleh dihidupkan semula di tepi litar dan perlu dibawa ke laluan keluar khas.

Ketika kejadian, sesi latihan hanya berbaki kira-kira dua minit, sekali gus menyebabkan Rins tidak mempunyai masa mencukupi untuk menghidupkan semula motosikalnya dan kembali menyertai sesi berkenaan.

Rakaman video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan Rins dibawa menaiki skuter seorang marshal untuk kembali ke kawasan paddock.

Bagaimanapun, perjalanan itu dipercayai terganggu apabila mereka ditahan dua lagi marshal sebelum berlaku pertengkaran mulut.

Marshal yang menunggang skuter berkenaan dilihat seolah-olah membantah tindakan rakan setugasnya ketika ketegangan semakin memuncak.

Rins kemudian turun dari skuter sebelum mengangkat jari tengah ke arah kumpulan berkenaan.

Pelumba itu selepas itu mendapatkan bantuan seorang jurugambar untuk kembali ke kawasan paddock.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, punca sebenar Rins pada awalnya dihalang daripada meneruskan perjalanan ke paddock itu tidak diketahui.

Rins juga tidak mengulas mengenai insiden berkenaan ketika ditemui media selepas tamat sesi latihan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!